Tahniah buat UMNO dan Barisan Nasional serta penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi mereka yang bekerja keras selama berminggu-minggu kebelakangan ini, dengan kemenangan bergaya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Barisan Nasional berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi, iaitu lebih 2/3 daripada kerusi yang dipertandingkan.
Kemenangan ini dijangka bakal menentukan hala tuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak dengan ‘mood‘ pengundi ketika ini cenderung memilih UMNO-Barisan Nasional. Keputusan ini disahkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, di mana jumlah yang keluar mengundi membabitkan 1.426 juta atau 54.92 peratus.
“Keputusan penuh PRN Johor adalah seperti berikut, Barisan Nasional (BN) 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula masing-masing satu kerusi,” katanya.
Terbukti rakyat negeri Johor tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan fitnah serta tuduhan-tuduhan melulu Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang akhir-akhir ini dilihat semakin ‘kasar’ dalam berpolitik. Ini termasuklah parti PAS yang sepatutnya menunjukkan cara politik matang dan sejahtera seperti slogan mereka – bukan dengan menuduh dan melabel calon politik lain dengan gelaran perompak, haiwan tertentu dan memainkan irama sama dengan DAP dan Pakatan Harapan.
Lebih memualkan, Haji Hadi sebelum ini ada menyindir rakyat Johor sebagai “kurang kesedaran dalam politik Islam” sebagai alasan kenapa partinya tidak dipilih – menyebabkan PAS gagal memenangi sebarang kerusi di sana dan ada di antaranya yang kehilangan deposit.
Jika PAS yang sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik namun gagal dalam mengawal kata dan akhlak yang baik demi meraih kemenangan, maka tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka. Melainkan pemimpin-pemimpinnya mula ‘mendengar’ rintihan akar umbi sendiri untuk memperkasa Muafakat Nasional.
Setelah PAS sendiri menjadi “itik patah kaki”, maka besar kemungkinan Haji Hadi dan segelintir pemimpin PAS yang menjadi ‘pak turut’ Mahiaddin dan Bersatu akan membuat _’u-turn’_ untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional di PRU-15 kelak.
Bagi Pakatan Harapan yang sudah menjangkakan kekalahan kali ketiga berturut-turut termasuk di PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini, pasti akan mencuba strategi lain termasuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional agar dapat memerintah dan berkuasa semula.
UMNO dan Barisan Nasional pula tidak boleh terlalu yakin dan selesa serta perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk jajaran baharu antara PN dan PH. Selain itu mereka juga perlu berhati-hati dengan cubaan menguasai UMNO melalui segelintir pemimpin yang ‘tunduk’ dengan Mahiaddin dan Perikatan Nasional. Apa sahaja boleh dibuat PN demi kuasa dan jawatan.
Semoga Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen ketika mood rakyat masih bersama UMNO-Barisan Nasional dan momentum kemenangan berjaya dikekalkan.
Teriakan “bubar Parlimen” terhadap beliau secara terang-terangan perlu dipandang serius dan jangan diambil mudah jika tidak mahu mengecewakan penyokong-penyokong sendiri. Agak ganjil jika Ismail Sabri masih tidak mahu membubarkan Parlimen dengan segera atas apa jua alasan, melainkan ada ‘sesuatu’ yang sedang diusahakan di belakang tabir.
Apapun, tahniah buat UMNO dan Barisan Nasional, semoga kemenangan manis yang berterusan ini dapat diperkukuhkan demi membela nasib rakyat yang tertindas di bawah PH dan PN selama ini.
Buat Bangsa Johor, tahniah kerana bijak memilih dan semoga menjadi contoh bagi negeri-negeri lain pada PRU-15 kelak, in Sha Allah.