Keyakinan rakyat dilihat kembali kepada UMNO-Barisan Nasional dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) terakhir dan yang terkini berlaku di negeri Johor. Bangsa Johor bijak memilih siapa kerajaan mereka demi untuk kesejahteraan rakyat dan kestabilan negerinya.
Berlaku juga insiden di mana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didesak untuk membubarkan Parlimen oleh akar umbi UMNO secara terbuka pada malam kemenangan mereka. Cuma apa yang dikesalkan ialah apabila beliau mengeluarkan kenyataan kurang cerdik iaitu desakan itu dibuat oleh “satu kumpulan kecil” sahaja.
Selaku Perdana Menteri yang dihormati beliau sepatutnya lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan. Apa salahnya berkata bahawa perkara itu akan dibawa ke mesyuarat bersama Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi lain. Mungkin dalam hal ini sama ada Pejabat Perdana Menteri (PMO) kurang berpengalaman mengendalikan hal sebegini ataupun Ismail Sabri sendiri terkesan dan menjawabnya secara emosional.
Selain itu ada beberapa langkah mudah yang boleh diambil memandangkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat kini memulih walaupun UMNO dituduh dengan pelbagai kata nista dan cemuhan, hatta oleh PAS sendiri.
Ismail Sabri boleh melakukan beberapa perkara mudah berikut;
1. Tidak perlu gentar dan takut dengan ancaman yang dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) untuk menarik sokongan kerana ketika ini bukan sahaja PN sendiri gentar dengan PRU-15, Pakatan Harapan (PH) juga dilihat akan mencari jalan untuk memanjangkan masa sehingga Parlimen terbubar dengan sendirinya. Ismail Sabri tidak perlu risau, Mahiaddin sudah tiada ‘butang’ untuk ditekan kerana PRU-15 awal ini menjadi igauan ngeri buat PH dan PN. Tidak wajar beliau masih mahu ‘tunduk’ kepada Mahiaddin dan Perikatan Nasional dalam keadaan mereka bermati-matian memburukkan UMNO pada PRN Johor. Tidak mungkin beliau masih mahu bersekongkol dengan Perikatan Nasional yang mahu ‘membunuh’ UMNO.
2. Kembali bermuafakat dan sentiasa bermesyuarat dengan parti sendiri dan bukan parti lain yang beliau rasa ‘terhutang budi’ sebelum ini. Perlu diingat Perikatan Nasional-lah yang sebenarnya terhutang budi kepada beliau. Ini kerana tanpa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin jawatan Menteri-menteri Bersatu akan kekal dan Mahiaddin sendiri tidak mungkin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri. Ismail Sabri perlu melihat situasi ini melalui ‘angle‘ lain yang lebih menguntungkan partinya sendiri. Baru mudah untuk beliau merencanakan sesuatu dengan lebih bijak bersama Presiden dan pemimpin-pemimpin UMNO lain.
3. Tindakan ini juga sekaligus mampu memulihkan kembali imejnya dalam parti kerana beliau dilihat seperti lebih cenderung memihak kepada Mahiaddin dan PN berbanding kepada Presiden dan akar umbi sendiri. Populariti beliau ketika ini juga jatuh merudum dan sebarang tindakan yang dilihat bertentangan dengan ketetapan parti pasti akan menyusahkannya kembali. Ini termasuklah cubaan untuk mempertimbangkan saranan DAP untuk melanjutkan MOU yang dibuat sebelum ini, dilihat terhasil melalui perbincangan beliau dan PN bukannya UMNO-Barisan Nasional.
Justeru, inilah kesempatan terbaik yang Ismail Sabri ada untuk memutuskan hubungannya dengan Perikatan Nasional secara lembut dan berhemah kerana Mahiaddin dan Bersatu tidak mungkin berani mengugutnya dalam keadaan UMNO kembali kuat dan ‘mood‘ rakyat kini bersama parti tersebut. Manfaatkan sepenuhnya momentum rakyat yang ketika ini menolak Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
UMNO perlu juga perlu berhati-hati dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku jika PRU-15 lambat diadakan kerana ‘jajaran baharu’ dijangka akan muncul tidak lama lagi. Kini bukan sahaja desas-desus tetapi sudah wujudpun cadangan yang dibuat oleh Perikatan Nasional dan segelintir pemimpin UMNO yang pro PN.
Apapun, semoga Ismail Sabri mencontohi rakyat Johor yang bijak memilih. Jangan apabila sudah terjerat baru mahu mencari jalan keluar.