Pelbagai pihak menuntut penjelasan PAS sama ada mahu menafikan ataupun menyaman pihak yang membocorkan dokumen atau minit mesyuarat mereka sendiri. Tinjauan rambang Editor Malaysia ke atas pelbagai platform media sosial termasuk kumpulan WhatsApp, meminta PAS berani ke depan menyaman atau setidak-tidaknya pemimpin-pemimpin mereka bersumpah laknat.
Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil turut meminta kepimpinan PAS untuk melakukan perkara yang sama iaitu berani bersumpah jika benar tidak terlibat. PAS tidak perlu takut ataupun gentar jika tidak bersalah dan perlu menghentikan masalah yang diciptanya sendiri.
Ketika ini, pemimpin-pemimpin PAS dilihat tidak berani berdepan dengan isu ini dan hanya bertindak mengelak dengan pelbagai alasan tidak masuk akal. Haji Hadi sendiri dilihat seolah-olah tidak berani mengatakan dokumen tersebut sebagai ‘fitnah’, sebaliknya hanya berkata beliau berharap “penyebarnya akan tanggung di akhirat“. Seperti hanya mahu penyebarnya menanggung dosa tetapi bukan pelaku-pelakunya yang direkodkan itu sepatutnya bertanggungjawab.
Sedangkan melalui dokumen yang bocor ini, ia bukan sahaja memalukan parti ‘Islam’ tersebut, malah memperlihatkan kerakusan segelintir pemimpin-pemimpinnya dalam berpolitik untuk kekal berkuasa. Siapa sangka dengan imej warak, berkopiah, berjanggut dan sesetengahnya berserban, tetapi hakikatnya gelojoh, tamak, berniat buruk dan bertindak di luar batas undang-undang. Apatah lagi gelaran ‘penunggang agama’, imej PAS kini tercalar teruk dan akan memburuk jika pimpinan PAS memandang remeh isu PASleak ini.
Apapun helah PAS, inilah tanggapan majoriti rakyat Malaysia ketika ini terhadap parti mereka dan sekiranya PAS berani, adakan sahaja ‘poll‘ atau undian untuk mengetahui setakat mana rakyat Malaysia percayakan PAS ketika ini. Bagi mereka, pemimpin-pemimpin PAS ketika ini tidak ada bezanya seperti pemimpin-pemimpin DAP dan Pakatan Harapan yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.
PAS pula tidak boleh menggunakan alasan kononnya dokumen itu sebagai ‘sampah’ atau seperti menurut kata-kata Presiden PAS Haji Hadi, “hanya loyar buruk melayan surat layang” kerana di dalamnya wujud pelbagai strategi kotor dan keji, yang tentunya bukan mencerminkan akhlak seorang Islam. Ditambah buruk, dalam dokumen bocor tersebut turut menyatakan kesanggupan PAS untuk bekerjasama kembali dengan DAP.
Agak pelik juga apabila sehingga kini tidak terlihatpun inisiatif daripada pimpinan PAS untuk menyiasat atau menghentikan rencana politik kotor dan keji segelintir pemimpin-pemimpinnya dalam mencatur kuasa itu jika benar-benar berlaku – yang mungkin sebelum ini hanya sanggup dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Zionis sahaja. PAS sepatutnya keras bertindak terhadap mereka yang terlibat, demi menjaga imej ‘Islam’ PAS.
Apapun, penghormatan patut diberikan kepada pemimpin-pemimpin PAS terutama Haji Hadi kerana isu ini bagi mereka hanyalah ‘sampah’, sedangkan ketika ini moral dan integriti pemimpin-pemimpinnya sedang diuji dan menjadi tontonan serta cemuhan masyarakat.
Kesimpulannya, pemimpin-pemimpin PAS yang dinamakan wajar bersumpah laknat bagi menafikan penglibatan mereka, malah parti PAS sendiri wajar berikrar atau berjanji tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpinnya yang bertindak keji sedemikian.
Jika PAS tidak berani, maka selagi itulah dokumen Pasleak yang menonjolkan ‘sisi gelap’ pemimpin-pemimpin PAS ini akan dianggap tulen oleh rakyat Malaysia.