PRN TERENGGANU – DR. RAMALAN YUNUS

203
SHARES
656
VIEWS

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri kali ini, PH-BN terutamanya UMNO seharusnya memberi penumpuan khusus di Terengganu. Dua kes petisyen PRU-15 iaitu di Parlimen Kuala Terengganu dan Marang memburukkan imej PAS di Terengganu.

Di Kuala Terengganu, pempetisyen telah berjaya membuktikan bahawa calon PAS Kuala Terengganu telah merasuah pengundi. Sogokan dibuat beberapa hari sebelum mengundi dan ia dilakukan sendiri oleh calon PAS Kuala Terengganu.

Calon telah menyogok pengundi dengan bantuan duit dari program kerajaan negeri iaitu program i-pencen, i-belia dan i-siswa. Berdasarkan kepada fakta yang jelas, hakim telah memutuskan kemenangan PAS di Kuala Terengganu dibatalkan.

Manakala di Marang pula pempetisyen telah membawa bukti video beserta dengan 10 orang saksi. Walaupun rasuah pengundi berlaku namun calon tidak terlibat secara langsung.

Disebabkan itu maka hakim berpendapat calon PAS Marang tidak melakukan sogokan tetapi orang lain yang melakukan sogokan. Ini kerana tidak ada keraguan munasabah. Kesimpulannya ini menunjukkan PAS mengamalkan rasuah pada PRU-15 yang lalu.

Amalan rasuah pada PRU-15 telah merosakkan imej PAS terutamanya di Terengganu. Inilah waktu yang terbaik untuk UMNO membuat ‘comeback‘ di Terengganu.

Sentimen di peringkat akar umbi juga pada waktu ini berpihak kepada UMNO. Atas dasar itu dengan strategi yang tepat, UMNO berpeluang untuk menjadi kerajaan semula di Terengganu.

Cabaran besar UMNO di Terengganu adalah barisan kepimpinan UMNO Terengganu itu sendiri. Kumpulan ini dilihat sudah tidak popular lagi di kalangan rakyat Terengganu.

Maklumat di peringkat akar umbi juga ingin melihat perubahan yang besar pada barisan kepimpinan UMNO Terengganu. Soalannya sekarang adakah UMNO sanggup memberi peluang kepada muka-muka baru untuk memimpin UMNO Terengganu sekaligus menjadi calon pada PRN kali ini?

Pada hemat saya, apa salahnya UMNO memberi peluang kepada muka-muka baru ini sekiranya ia memberi potensi kepada UMNO untuk kembali menjadi kerajaan di Terengganu.

UMNO sebenarnya tidak ada risiko sekiranya mahu membuat perubahan besar pada UMNO Terengganu. Bak kata orang, kedudukan UMNO pada hari ini, kalah dalam tangan dan menang belum tahu.

Lalu apa salahnya mencuba? Apa salahnya membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik? Apa faedahnya mahu terus ‘bergayut’ kepada muka-muka lama yang sudah tidak lagi popular di kalangan rakyat Terengganu.

Bukankah lebih baik UMNO membuat perubahan besar-besaran pada UMNO Terengganu pada masa ini?

UMNO harus berani membuat perubahan besar di Terengganu sekiranya ingin menjadi kerajaan semula.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts