ISMAIL SABRI PERLU CERDIK, TIDAK BOLEH TERSALAH LANGKAH

119
SHARES
385
VIEWS

Tindakan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob akhir-akhir ini hanya menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin dan ahli akar umbi UMNO antaranya apabila berkata Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak akan diadakan dalam waktu terdekat. Beberapa media juga heboh mengatakan mengenai pertemuan sulit beliau dengan bekas Perdana Menteri dua kali iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad di Jepun, dalam satu langkah politik yang dilihat akan mengubah beberapa perancangan lain sebelum ini.

Bagi Ismail Sabri, tujuannya hanya satu iaitu mahu kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 namun dalam masa yang sama, beberapa pihak yang cuba membantunya tidak diendahkannya, walaupun beliau sendiri yang meminta bantuan sebelum ini. Sama ada Ismail Sabri sendiri yang ingkar ataupun pihak di sekelilingnya yang memandai-mandai termasuklah terlalu mendengar seorang penasihat wanita yang kini menjadi buah mulut bakal menjadi “trojan horse” bagi Ismail Sabri – di mana tindakan ini hanya akan memusnahkan cita-citanya menjadi Perdana Menteri pasca PRU-15 kelak.

Sepatutnya Naib Presiden UMNO ini jangan terlalu banyak ‘deal‘ dengan pelbagai pihak seperti Tun Mahathir dan Tan Sri Mahiaddin Yassin bagi menjayakan “UMNO++” apatah lagi UMNO sendiri sudah menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri sekaligus menjadi ‘poster boy‘ bagi UMNO-Barisan Nasional di PRU-15.

Tidak cukupkah jaminan dan endorsement menjadi Perdana Menteri daripada UMNO-Barisan Nasional jika mereka berjaya memenangi pilihan raya kelak? Sudah yakin sangatkah Ismail Sabri bahawa pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya menyokong beliau ketika ini benar-benar menyokongnya atau hanya mengikut arus politik dan ‘instinct’ survival politik masing-masing?

Paling penting, adakah tindakan tetap mahu mengenakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak serta Datuk Seri Utama Mohamad Hasan atau Tok Mat tidak akan memakan dirinya sendiri? Adakah Ismail Sabri yakin rancangan mengambil alih UMNO atau “UMNO++” beliau ini akan berjaya? Jika Zahid dan Najib berjaya disumbatkan ke penjara sekalipun, seperti rancangan asal Mahathir dan Mahiaddin, serta Tok Mat pula dikenakan tindakan mahkamah seperti yang dirancang kumpulan Ismail Sabri, adakah beliau yakin UMNO akan memilihnya sebagai Presiden?

UMNO bukan hanya berkisar kepada tiga individu utama dan penting ini, kerana pasti ada nama lain yang boleh menggantikan mereka kelak jika worst case scenario berlaku tetapi pasti bukan Ismail Sabri dan kumpulan UMNO Putrajayanya. 

Tindakan ‘robust‘ dan tidak cerdik Ismail Sabri ini hanya akan membuatkan ahli-ahli UMNO dan majoriti rakyat Malaysia yang sudah cukup marah dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sebelum ini membalas dendam di PRU-15 kelak. Dalam pemilihan parti pula, Ismail Sabri dan kumpulan UMNO++ seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim, Khairy Jamaluddin, Mahdzir Khalid dan beberapa nama lagi yang cuba menjatuhkan institusi Presiden pasti akan ditolak sepenuhnya oleh UMNO.

Ini kerana ahli-ahli akar umbi pasti akan membela pemimpin-pemimpinnya terutama Presiden dan Timbalan Presiden yang dilihat mereka berjaya mengemudi UMNO dengan sangat baik dalam keadaan parti itu teruk dilanyak oleh semua pihak sebelum ini. Sehingga kini parti itu masih kekal utuh malah kembali diyakini dan dipercayai rakyat di sebalik pelbagai tekanan, ugutan dan cubaan memusnahkannya. Semuanya berjaya diatasi oleh Presiden dan Timbalan Presiden serta dengan bantuan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang masih kekal setia termasuklah Najib Razak yang banyak membantu partinya selama ini walaupun sibuk dengan urusan mahkamahnya. 

Justeru, terpulang kepada Ismail Sabri untuk menggunakan laluan mudah menjadi Perdana Menteri dengan mendapat restu Presiden, Timbalan Presiden, MKT dan akar umbi UMNO, atau memilih jalan sukar yang kini dipilihnya bersama UMNO++. Cuma jangan lupa, jika ‘manual’ yang digelar sebagai ‘PASleak‘ untuk mengenakan Zahid, Tok Mat dan Najib sendiripun boleh bocor, entah apa lagi yang mungkin dibocorkan selepas ini.

Mungkin ada rakaman audio yang dirancang oleh kumpulannya untuk mengenakan pemimpin tertinggi sendiri boleh dibocorkan kelak. Masih belum terlambat untuk Ismail Sabri kembali menjadi ‘party man‘ dan sentiasa patuh dengan keputusan parti, agar beliau sendiri kembali diyakini oleh akar umbi parti. Jika tidak, lebih baik Ismail Sabri ucapkan selamat tinggal kepada dunia politik selama-lamanya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts