KE MANA HALA TUJU UMNO PUTRAJAYA DAN RANCANGAN UMNO++?

95
SHARES
308
VIEWS

Beberapa pihak mutakhir ini asyik sibuk merancang ‘maneuver‘ politik tanahair dalam mencatur siapakah Perdana Menteri seterusnya selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tentunya tindakan ini juga melibatkan Ismail Sabri sendiri yang masih mahu menjadi Perdana Menteri dan mengerahkan pasukan di sekelilingnya untuk membuat percaturan politik bagi membantunya kekal di jawatan tersebut. Tidak menjadi masalah jika ia mendapat restu Presiden dan parti serta akar umbi dijelaskan sepenuhnya. 

Cuma ‘keterujaan’ beliau ini dicacatkan dengan kesilapan apabila berunding dengan terlalu banyak pihak selain membelakangkan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri walaupun wujud jalan mudah yang telahpun beliau maklum daripada awal. Tetapi entah kenapa Ismail Sabri secara tiba-tiba berubah arah dan berunding pula dengan pihak lain untuk mewujudkan UMNO++ atau UMNO 3.0 sedangkan beliau sudahpun dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. . Apapun namanya, mungkin Ismail Sabri over confident kononnya UMNO Putrajaya berdiri teguh di belakang beliau walaupun hakikatnya semua mereka hanya bijak memainkan peranan masing-masing demi survival politik sendiri.

Selain itu, rancangan yang digelar sebagai UMNO++ atau UMNO 3.0 bagi menggantikan pucuk pimpinan UMNO sedia ada iaitu Presiden Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Dato Seri Utama Mohamad Hasan serta Dato Sri Mohd Najib Tun Razak mungkin boleh berjaya, tetapi masalahnya UMNO dengan mudah juga boleh menggantikan tiga pemimpin utama ini dengan pemimpin-pemimpin lain yang jauh lebih setia berbanding UMNO Putrajaya.

Kumpulan UMNO Putrajaya pasti akan dihukum dalam pemilihan parti termasuklah Ismail Sabri sendiri jika beliau tetap memihak kepada kumpulan yang dilihat cuba memusnahkan UMNO dan membawa masuk kembali Tun Mahathir serta Tan Sri Mahiaddin Yassin, dua individu yang telahpun gagal dan ditolak sepenuhnya oleh rakyat sebelum ini. Jika Ismail Sabri cerdik, inilah masa terbaik untuk mematikan terus karier politik dua punca utama yang menjadi pencetus kepada ketidakstabilan politik negara selama ini. Malah bukankah perkara ini telahpun dibuktikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila kedua-dua parti milik dua figura tua ini ditolak sepenuhnya oleh rakyat? 

Walaupun kedua-duanya mempunyai dana politik yang amat besar, hatta jika digabungkan dana UMNO dan parti-parti lain, ia masih tidak mampu menyamai dana besar mereka berdua tetapi rakyat tetap tidak peduli. Taikun-taikun bilionair yang selama ini di belakang mereka sudah sedia untuk ‘melambakkan’ berapapun jumlah dana politik hatta berbilion ringgit semata-mata untuk memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing. Apabila semuanya buntu, maka kerana itulah rancangan UMNO++ diwujudkan agar parti Melayu Islam terbesar negara itu berjaya dikuasai mereka sepenuhnya melalui pemimpin proksi.

Tanpa UMNO++ atau UMNO 3.0 ini maka pasti parti Pejuang Tun Mahathir dan parti Bersatu Mahiaddin termasuk Perikatan Nasional akan terus terkubur tanpa nisan, justeru rancangan jahat dan mengkhianati UMNO ini menjadi jalan terakhir untuk dilaksanakan.

Sungguhpun begitu, pemimpin-pemimpin setia serta akar umbi UMNO pasti tidak akan setuju parti keramat mereka diambil alih oleh Tun Mahathir dan Mahiaddin melalui pemimpin-pemimpin boneka dalam UMNO Putrajaya. Tindakan membalas dendam atau ‘retaliation‘ pasti akan dilakukan mereka untuk memastikan UMNO terus kekal bebas tanpa dikuasai oleh dua pemimpin politik tua yang hakikatnya tidak lagi relevan dalam landskap politik negara ketika ini. 

Justeru, persoalannya ialah apabila mengetahui rancangan UMNO++ atau UMNO 3.0 ini sukar dijayakan, maka adakah kumpulan UMNO Putrajaya yang tidak tahu malu ini akan kembali ke pangkal jalan, terhegeh-hegeh menagih kerusi daripada Presiden, ataupun akan tetap menyokong bahtera Perikatan Nasional yang semakin karam?

Tepuk dada, tanyalah selera dan ikutlah instinct politik masing-masing. Namun kelak jangan meroyan apabila tidak dicalonkan atau kalah bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Jika daripada awal sudah membuat perancangan jahat mengkhianati parti sendiri, pasti akibat buruk akan berbalik kepada diri sendiri. Jika tidak percaya juga, tunggu sahajalah. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts