BERSEDIAKAH UMNO HADAPI PRU-15 TANPA NAJIB?

76
SHARES
246
VIEWS

Inilah realiti pahit yang perlu dihadapi oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO di seluruh negara yang berjumlah sekitar 4 juta orang. Sungguhpun memiliki kekuatan akar umbi yang paling kuat dan kukuh berbanding parti-parti lain, namun dengan ketiadaan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ia bakal ‘memalapkan’ kempen UMNO-Barisan Nasional di PRU-15 kelak kerana UMNO kini kehilangan satu tokoh yang sebegitu efektif menangkis serangan pihak lawan terutamanya DAP-Pakatan Harapan.

Sungguhpun berdepan pelbagai rintangan, UMNO sebagai parti tertua di negara ini perlu mengorak langkah lebih jauh ke hadapan demi perjuangan membela UMNO yang kini berdepan dengan pengkhianatan terang-terangan, mempunyai ramai musuh dalam selimut serta talam dua muka yang mahu UMNO dihapuskan terus daripada bumi bertuah Malaysia ini.

Dimulakan dengan Najib, selepas ini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Seri Utama Mohamad Bin Hasan pula dijangka akan menerima nasib yang serupa melainkan satu gerakan tegas dilakukan untuk mematikan langkah musuh dalam selimut parti yang tanpa segan silu lagi cuba mengambil alih UMNO secara paksa daripada Presiden dan Timbalannya.

Walaupun tindakan mereka ini dilihat rakyat seperti ‘overkill‘, berlebih-lebihan dalam pelaksanaan untuk mematikan UMNO dan pemimpinnya yang setia, walaupun terpaksa membelakangkan undang-undang termasuk rakyat melihat ‘keadilan’ disegerakan, semata-mata untuk menghukum UMNO dan pemimpin-pemimpinnya yang bertegas tidak akan ‘menjual’ UMNO kepada musuh.

Selain itu, faktor Ismail Sabri melengah-lengahkan pembubaran Parlimen tidak seperti kehendak parti hanya membuatkan musuh berjaya menguatkan parti mereka dalam masa yang singkat. Bukan UMNO tetapi DAP-Pakatan Harapan yang akan beroleh keuntungan besar daripada kesilapan Ismail Sabri ini.

Sungguhpun begitu, tidak sukar untuk akar umbi meneka kenapa Ismail bersikap demikian kerana selagi butiran perjanjian dengan Perikatan Nasional tidak didedahkan, maka selagi itulah beliau tidak akan dipercayai. Malah tindakan ini akan merugikan beliau kelak dan hasrat menyambung jawatan Perdana Menteri akan terbantut dengan sendirinya. 

Justeru apa yang diharapkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO daripada ahli-ahli dan penyokong-penyokong setianya? Pimpinan UMNO hanya mengharapkan kesetiaan dan kepercayaan, serta sentiasa bersabar dan bertawakal kepada Allah dalam menghadapi ujian dan ditentang hebat oleh musuh daripada segenap arah termasuklah dikhianat daripada dalam.

Setakat ini buah catur penentu hayat UMNO masih di tangan pemimpin-pemimpin UMNO yang setia, bukannya pada Perdana Menteri ataupun kumpulan UMNO Putrajaya dan kerana itulah Presiden dan kumpulannya kini amat digeruni hatta Pilihan Raya Umum ke-15 hanya menanti hari untuk diadakan. Sudah ada yang cuba membuat tawaran dan ada juga yang membuat ugutan. Apapun, terserah kepada pimpinan UMNO untuk tentukan apakah dan bilakah bidak catur mereka hendak digerakkan.

Apapun, yang paling penting, istiqamahlah dalam perjuangan ا ب ت – demi agama, bangsa dan tanahair tercinta. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts