Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
MPPK menyambut baik inisiatif kerajaan berkenaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 kategori M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
Oleh itu, kami ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pengumuman ini. Semoga dengan pengumuman ini sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban Siswa Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT.
MPPK juga mengambil maklum pengumuman YB Datuk Seri Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang mana Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.
MPPK menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan KPT bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa di kampus. MPPK mengharapkan agar lebih banyak inisiatif- inisiatif seperti ini dapat diwujudkan melibatkan golongan mahasiswa di negara ini.
Tambahan pula kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan B40. Pemberian inisiatif ini sudah pastinya akan meringankan lagi beban mahasiswa yang memerlukan bagi menjalani proses pembelajaran yang lebih kondusif.
Ia jelas menunjukan antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.
MPPK juga percaya kerajaan akan terus komited dalam membela serta terus mendengar hasrat dan denyut nadi mahasiswa selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri kita yang mahu terus mendengar suara anak muda yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia.
Ia juga membuktikan keprihatian kerajaan Keluarga Malaysia DI bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjaga.
Sekian, terima kasih.
Ct Faizah Abdul Rahman
Naib Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
16 September 2022