Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). Keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, YA Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap Presiden UMNO itu di akhir pendakwaan.
“Justeru mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya ketika membacakan keputusan tersebut.
YA Mohd Yazid turut berkata bahawa keterangan tiga saksi utama yang dikemukakan pendakwaan adalah tidak dapat dipercayai. Malah menurut beliau, keterangan mengenai siapa menyerahkan wang tersebut kepada Zahid seperti dalam pertuduhan juga memprejudiskan tertuduh.
“Saya mendapati saksi dan bukti yang dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan wujudnya elemen penerimaan wang suapan. Saya menimbangkan keterangan secara keseluruhan dan selepas saya meneliti secara keseluruhan saya menolak keterangan beberapa saksi, ia menimbulkan keraguan sama ada wang suapan itu diserahkan kepada tertuduh.”
“Dalam membuat keputusan ini, saya mengingatkan diri sendiri dari hari pertama sehingga keputusan ini dibuat, saya meneliti kseluruhan bukti pendakwaan dengan berhati-hati dan hujahan kedua-dua belah pihak.”
Justeru amatlah diharapkan agar keadilan di negara ini bukan sahaja dapat ditegakkan tetapi juga rakyat melihatnya ditegakkan. Bukan bukti-bukti dihalang daripada dibawa ke mahkamah, saksi-saksi utama tiada dan tidak berjaya dihadapkan ke mahkamah namun perbicaraan diteruskan. Malahan apabila peguam bela meminta sedikit masa untuk menyiapkan diri untuk pembelaanpun dinafikan. Lebih teruk, draf penghakiman bocor beberapa hari awal dan suami pula membuat rakaman dalam mahkamah.
Penggunaan maksim “Justice rushed is justice crushed” adalah jauh lebih baik daripada “Justice delayed is justice denied” kerana jika tanpa saksi utama dan bukti-bukti baharupun tidak mahu dihujahkan di mahkamah, saksi yang ada juga terbukti mendapat habuan daripada saksi utama, maka hakikatnya keadilan (justice) untuk tertuduhlah yang telah dinafikan (denied).