MADRASAH ATAU HANYA TEMPAT PEMULIHAN?

96
SHARES
310
VIEWS

Isu sebuah pertubuhan yang menggunakan nama ‘madrasah’ hanya kerana ia dinaungi dan disokong oleh beberapa NGO, sepatutnya disiasat segera apabila ia dikaitkan dengan penderaan dan bukannya mangsa serta saksi yang tampil serta pihak yang membantu mereka pula diugut dengan saman – kononnya kerana memfitnah. 

Selain tempat tersebut bukanlah berfungsi sebagai sebuah madrasah sebenar, ia turut didakwa tidak mempunyai kelulusan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan mendera pelatih-pelatih di bawah jagaannya atas alasan pemulihan.

Selain mengelakkan wujud persepsi negatif terhadap institusi madrasah yang sebenar di negara ini, tempat tersebut wajar di-‘rebrand‘ hanya sebagai “tempat pemulihan” bagi individu yang bermasalah, termasuk ketagihan dadah dan masalah moral, sama seperti tempat lain yang jauh lebih dikenali dan tidakpun menimbulkan kecurigaan selama ini.

Tujuannya ialah bagi melindungi kemuliaan institusi madrasah, pondok dan pengajian agama lainnya yang mendidik anak bangsa menjadi seorang hafiz dan hafizah, alim dan alimah yang menghabiskan masa bertahun mentelaah Al-Quran dan kitab hadis serta kitab-kitab agama lainnya yang dipelajari daripada “kulit ke kulit”. Bukannya semudah menyelitkan zikir-zikir dan amalan-amalan tertentu, jurulatihnya memakai jubah dan kopiah maka ia sudah boleh diklasifikasikan sebagai madrasah.

Belum pernah lagi sesebuah tempat pemulihan dinamakan sebagai madrasah kerana fungsi antara keduanya adalah amat berlainan. Hatta pemulihan bersandarkan perubatan Islam sekalipun, ia tidak boleh dan tidak layak dinamakan sebagai madrasah. 

Justeru pihak berwajib, NGO terlibat dan masyarakat wajar dididik untuk mengenalpasti mana satu madrasah sebenar yang menjadi tempat mengajar dan belajar ilmu agama, mana satu tempat yang dijadikan pusat pemulihan dan mana satu tempat khusus untuk perubatan.

Jangan kerana apabila menggunakan nama ‘madrasah’ sahaja, maka masyarakat cepat melatah dan marah kerana ia terkait dengan agama, walaupun hakikatnya ia hanyalah tempat pemulihan. Lebih malang, sudahlah ia beroperasi tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan, tenaga pengajar pula bertindak seperti gangster apabila keluarga ingin mengambil anaknya pulang, kini terkait pula dengan dakwaan penderaan – yang dikatakan sebagai ‘pemulihan’.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts