Rakyat Malaysia yang mengundi sepanjang hari bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang telahpun memilih siapa yang mereka mahu menjadi kerajaan. Jelas kali ini undi anak-anak muda kali pertama memainkan peranan yang amat penting untuk mengubah landskap negara sehinggakan penganalisa politik sendiri mengakui banyak telahan mereka tersasar kerana pengaruh Undi18.
Sungguhpun begitu, keputusan ‘upset‘ dilihat apabila tiada mana-mana gabungan setakat ini yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Pakatan Harapan memperoleh majoriti 81 kerusi berbanding Perikatan Nasional yang memperoleh 73 kerusi dan Barisan Nasional pula hanya menang 30 kerusi. Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Dato Sri Anwar Ibrahim mengakui masing-masing mampu membentuk kerajaan melalui cadangan gabungan. Malah Hadi Awang juga menjadi yang pertama membuat ucapan tahniah kepada partinya sendiri dan Perikatan Nasional serta berkata yakin mampu membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, di sebalik cadangan kerjasama antara gabungan yang dilihat mampu mewujudkan sebuah kerajaan, persoalannya adakah formula kerjasama itu mampu mewujudkan kestabilan yang rakyat mahukan? Tidak kira Pakatan Harapan bekerjasama dengan GPS dan GRS ataupun antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang juga memerlukan blok Sabah dan Sarawak, kerjasama ini dilihat rapuh dan bakal mengulangi sejarah tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.
Apapun formulanya, rakyat tidak bersedia untuk berdepan dengan satu lagi Langkah Sheraton, yang menjadi balasan kepada Pakatan Harapan kerana gagal memerintah dan hanya mampu bertahan selama 22 bulan. Jika Perikatan Nasional pula menerajui kerajaan, rakyat juga tidak sanggup berdepan dengan pelbagai politiking hatta sampai ke tahap sanggup menderhaka titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Natijahnya, Mahiaddin sendiri terpaksa meletakkan jawatan dan dimalukan.
Blok Pakatan Harapan yang kini diterajui sepenuhnya oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim dan bukan lagi Tun Mahathir yang kalah di kubu kuatnya sendiri, pasti akan menawarkan gabungan lain untuk menyertainya membentuk kerajaan, tetapi adakah Barisan Nasional mahu bekerjasama dengan mereka setelah teruk dihukum selepas kalah di PRU-14 lepas?
Di pihak Perikatan Nasional pula, mereka tentunya tidak kisah untuk bergabung dengan sesiapa jua hatta Pakatan Harapan kerana mempunyai DNA yang sama sebelum ini. Begitu juga PAS yang pernah bersama DAP dan PKR dalam Barisan Alternatif untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, bagi mereka apapun tidak mustahil asalkan cita-cita menjadi kerajaan mampu ditunaikan.
Justeru, formula manakah yang boleh menjamin kestabilan negara yang didambakan rakyat sejak sekian lama? Bagi UMNO-Barisan Nasional yang kini boleh dilihat sebagai ‘King Maker‘, mereka tidak perlu terburu-buru berunding dengan mana-mana pihak yang terdesak mahu membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri, sebaliknya lebih baik menunggu dan teliti mana tawaran yang lebih baik untuk negara dan kelangsungan parti mereka.
Jangan pula sampai tersalah pilih gabungan yang akan menekan kembali mereka sehingga UMNO berjaya diambil alih dan akhirnya dikuburkan.