ADAB BERUNDING DAN KISAH ANJING BEREBUT RUSA

247
SHARES
796
VIEWS

Dalam agama, tidak berguna jika berilmu tetapi tidak mempunyai adab. Dalam Perikatan Nasional jika Bersatu berlagak angkuh dan tidak berakhlak mulia masih boleh dimaafkan, tetapi jika PAS yang daripada dahulu asyik kata demi Islam, demi ummah, tetapi mereka juga tidak menjaga adab, maka malanglah pengikut-pengikutnya. Malanglah mereka kerana mengikut pemimpin-pemimpin yang tidak tahu menjaga adab.

Tidak mungkin jika Perikatan Nasional berakhlak lebih teruk daripada Pakatan Harapan yang di dalamnya ada DAP dan PKR, kerana kebanyakannya adalah Melayu Islam dan ada ramai dalam kalangan mereka digelar Tok Guru dan juga ustaz yang berserban dan berjubah. Tidak mungkin Tok Guru dan ustaz mereka ini tidak tahu mengenai adab dan batasannya. Tidak mungkin mereka tidak tahu adab berunding dan juga bermesyuarat.

Kenapakah Perikatan Nasional yang tidak cukup kerusi dan sangat memerlukan 30 kerusi daripada UMNO untuk membentuk kerajaan tetapi dalam masa yang sama berlagak sombong dan angkuh? Malah lebih teruk tidakpun berjumpa Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional untuk berunding dengan penuh adab dan semangat ukhwah. Perikatan Nasional tidak boleh lupa bahawa merekalah yang tidak mampu membentuk kerajaan dan memerlukan sokongan pihak lain, maka kenapalah sombong sangat? 

Seumpama satu keluarga ingin meminang anak dara keluarga lain, datanglah beradab berjumpa ayah atau ketua keluarganya untuk menyampaikan hajat dan berunding. Datanglah ke rumahnya bukan sebelum datang berlagak samseng, mengibaratkan pihak lain kononnya “anjing lagi cerdik” sedangkan anjing yang dimaksudkan ialah diri sendiri. Diri sendirilah yang gagal berunding dengan ‘anjing’ lain untuk memburu rusa yang diidamkan. Malangnya yang mengumpamakan pihak lain sebagai anjing itu digelar ‘Tok Guru’ kerana kononnya beliaulah yang paling berilmu dalam kalangan yang lainnya.

Itulah peri pentingnya adab yang mengatasi ilmu, tiada guna berilmu tinggi jika tiada adab dan tidak berakhlak mulia, kerana jika mahu berbangga dengan ilmunya, iblis lebih berilmu dan menjadi ketua para malaikat. Tetapi apabila tidak menjaga adabnya di depan Nabi Adam AS dan enggan taat perintah Allah maka beliau dicampakkan ke dunia dan membawa gelaran ‘laknatullah’ sehinggalah ke hari kiamat.

Oleh itu, janganlah kerana kerana dahagakan secangkir kuasa yang sementara cuma maka adab-adab dalam agama dikesampingkan. Hakikatnya adab-adab inilah yang membentuk agama. Tanpa adab, seseorang itu walaupun tinggi ilmu agamanya tetapi lisan dan perbuatan mereka masih lagi menyakiti umat Islam, maka dikhuatiri angkara lidahnya itulah yang bakal menghumban beliau ke neraka kelak. Seperti hadis, “Dari Abdullah bin Amr ia berkata, Rasulullah bersabda: “Muslim sejati adalah siapa yang orang-orang muslim lainnya selamat dari lisan dan tangannya.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Janganlah PAS menjadi mereka yang mempersulit rundingan tetapi berlemah lembutlah dan berakhlak mulia seperti nasihat Rasulullah SAW di bawah;

Dari Abu Musa al-Asy’ari bahawa Nabi telah mengutusnya beserta Muaz ke Yaman, dan beliau bersabda kepada keduanya: “Permudahlah dan jangan mempersulit, berilah khabar gembira dan jangan membuat lari, dan saling bersepakatlah dan jangan saling berselisih.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Justeru, semoga Allah Taala menjauhkan semua umat Islam di dunia ini daripada salah faham duniawi dengan menyangkakan parti politik itulah agama. Semoga hadis di atas menjadi panduan PAS dan Perikatan Nasional untuk berunding dengan saksama dan penuh adab demi mendapatkan ‘rusa’ idamannya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts