SURAT PEMBACA
1. Galak benar media arus perdana dan portal-portal media menyerang Zahid agar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Serangan ini membawa naratif Zahid seorang kononnya penipu, tidak layak menerajui UMNO dan Barisan Nasional.
2. Serangan ini adalah gerakan terancang daripada mereka yang berkepentingan mahu menggunakan UMNO-BN sebagai batu loncatan melempiaskan kepentingan mereka.
3. Tumpang sekaki ialah pemimpin UMNO yang diketahui kiblat mereka ke mana. MCA dan MIC pun tumpang menambah perisa serangan terhadap Zahid.
4. Perlu diingatkan, UMNO-BN adalah parti yang kalah ketika ini. Mengapa orang luar sibuk menggunakan media arus perdana dan portal berita menghentam Zahid? Kenapa saat-saat ini mereka begitu prihatin dengan moral UMNO?
5. Bukankah selama ini mereka yang mengatakan UMNO ini parti korup, itik patah kaki, parti air keruh dan macam-macam lagi? Logiknya bila sudah kalah, patut mereka tidak payah pedulipun apa Presiden UMNO ini hendak lakukan.
6. Tetapi dua tiga hari ini tidak terjadi demikian. Zahid diasak bersungguh-sunguh oleh pihak ‘yang berkepentingan’ itu. Saat-saat akhir ini adalah kemuncaknya. Apakah tujuannya?
7. Apakah mereka mahu memastikan Zahid rebah dan UMNO-BN kembali menyembah mereka? Jika ini tujuannya, maka jadilah UMNO-BN bak lembu dicucuk hidung.
8. Pihak itu seperti orang gila talak, meroyan mengharapkan UMNO-BN kembali kepada mereka. Malangnya dengan kewujudan Zahid, UMNO-BN tidak dapat dijinakkan dengan mudah.
9. Zahid adalah tembok penghalang bagi mereka. Maka itu mereka merancang naratif melalui media untuk memburukkan Zahid. Wang dan siaran bukan halangan bagi mereka.
10. Kita tahu parti manakah yang paling mewah di PRU-15. Tidak sukar juga kita meneka tangan siapa yang mengarahkan media arus perdana dan portal berita menyerang Zahid ‘habis-habisan’.
11. Jangan kita termakan hasutan mereka, terutama orang UMNO-BN yang menyerang Zahid daripada dalam. Mereka ini pengkhianat kerana adab dalam organisasi bukan begitu caranya.
12. Bukan begitu caranya jika sayangkan parti. Sebarang kekhilafan boleh saja diadukan secara dalaman. Utamakan kepentingan semua untuk kita mengorak langkah ke hadapan yang lebih cemerlang.
Ahli perlu bersatu untuk kita menghadapi saat-saat getir ini. Moga keputusan UMNO-BN ini yang terbaik buat semua.
Bertahanlah… Moga ada kebaikan daripada keputusan yang akan dibuat nanti…
Ahli UMNO Marhaen
Bukit Tinggi, Pahang