KERAJAAN JANGAN TERLALU LAMA ‘PERAM’ ISU PERBELANJAAN RM600 BILION

92
SHARES
296
VIEWS

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduannya tidak boleh terlalu lama mengambil masa untuk menyiasat sedalam-dalamnya isu perbelanjaan RM600 bilion yang digunakan oleh pentadbiran terdahulu. Malah dalam pelbagai siri ceramahnya sebelum ini beliau juga kerap menyebut isu ini akan dibangkitkan jika beliau berjaya membentuk kerajaan. 

Jika kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini boleh bertindak keras menyerbu rumah bekas Perdana Menteri keenam Dato Sri Mohd Najib Tun Razak bagi menyiasat kes 1MDB dan SRC yang melibatkan jumlah hanya RM2.6 bilion dan RM42 juta, maka sudah tentu jumlah yang jauh lebih besar ini perlu disiasat habis-habisan. Jumlah ini 230 kali ganda lebih besar berbanding jumlah 1MDB dan SRC serta hampir menyamai jumlah hutang negara selama lebih 60 tahun. Tentu rakyat geram dan mahu tahu bagaimana ia sebegitu rakus dibelanjakan. Malah seluruh instrumen kerajaan yang berkaitan sudah boleh digerakkan kerana kerajaan perlu memikirkan isu kepentingan awam dalam masalah ini kerana ia melibatkan jumlah yang terlalu besar.

Mahiaddin dan Perikatan Nasional belum bersalah dan wajar diberi peluang membela diri kerana penggunaan RM600 bilion yang sebegitu besar ketika darurat ini dilihat meragukan dan perlu diberi perhatian khusus agar dapat dijelaskan kepada rakyat. Jika perlu ditubuhkan pasukan khas dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) maka lakukanlah tetapi usah ditunggu terlalu lama. 

Malahan, kabinetpun sudah dibentuk dan pembahagian tugas bagi menyiasat isu perbelanjaan ini sudah boleh dilakukan segera. Inilah masanya Kerajaan Perpaduan membuktikan mereka mampu menyiasat perbelanjaan besar dan mewah kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, sama ada ketika darurat juga semasa Pilihan Raya Umum ke-15 lepas – yang menyaksikan mereka membuat ‘pelaburan’ yang sebegitu besar dan ‘bermati-matian’ untuk menang. 

Jangan ditunggu lama, kelak rakyat akan mula bosan dan sangsi dengan janji-janji Kerajaan Perpaduan. Lebih teruk, mereka akan menyamakannya dengan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya gah dan ‘garang’ ketika berkempen tetapi akhirnya gagal di tengah jalan. Jika tiada masalah dengan perbelanjaan ini maka satu negara sudah boleh ‘move on‘ dan Perikatan Nasional juga sudah boleh menarik nafas lega dan diharapkan mampu menjadi pembangkang berwibawa. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts