Di sebalik pelbagai alasan dan kenyataan angkuh yang cuba disampaikan oleh bekas Perdana Menteri kelapan Tan Sri Mahiaddin Yassin mengenai pembabitannya dalam beberapa kes rasuah, SPRM hari ini mengesahkan beliau sebagai salah seorang suspek.
Sungguhpun begitu, Mahiaddin boleh menarik nafas lega kerana sejak kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memerintah, belum sekalipun rumah beliau diserbu sepertimana bekas Perdana Menteri keenam Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak diperlakukan. Rakyat masih belum lupa bagaimana bukti belum cukup dan siasatan belum lengkap namun rumah beliau tetap diserbu dan barangan dirampas. Jelas Mahiaddin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ‘melanyak’ musuh politiknya cukup-cukup.
Berbeza dengan Kerajaan Perpaduan, Mahiaddin masih ‘enjoy‘ malah sempat mencemuh kerajaan termasuk memberi ‘amaran’ kepada Anwar, jangan ingat beliau boleh berkuasa selama-lamanya. Malah kerajaan ketika ini tidakpun menggunakan pasukan polis ataupun SPRM untuk melanyak dan memalukan Pengerusi Perikatan Nasional tersebut. Sekadar siasatan mengikut apa yang diperuntukkan oleh undang-undang negara ini.
Anwar dan Kerajaan Perpaduan juga masih memberi ruang seluas-luasnya kepada Mahiaddin untuk ke sana dan ke sini hatta berkunjung ke luar negara. Malah jika mahu dibandingkan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri, layanan terhadap Mahiaddin jauh lebih istimewa di mana beliau masih boleh menggunakan pasport peribadi sesuka hatinya, tidak seperti Zahid.
Selain itu, kunjungan Mahiaddin ke negara jiran baru-baru ini juga menimbulkan tanda tanya di mana pihak Bersatu sendiri turut tertanya-tanya apakah tujuan Mahiaddin ke sana? Ini kerana dalam masa yang sama Perdana Menteri turut membuat lawatan dua hari ke negara tersebut.
Adakah semua ini kebetulan ataupun Mahiaddin cuba mencari talian hayat namun tidak diendahkan Anwar? Oleh kerana itu balik sahaja terus beliau ‘menyalak’ habis-habisan termasuk mahu menyaman mereka yang konon memfitnahnya.
Apapun, semoga Mahiaddin bertenang dan yakinlah janji Allah itu pasti. Jika berbuat baik pasti akan dibalas baik dan sebaliknya jika berbuat jahat atau menganiaya, balasannya pasti seburuk perbuatannya.
Justeru jika tidak terlibat rasuah atau salah guna kuasa dan tidak pernah menganiaya, maka tiada apa yang Mahiaddin perlu takutkan. Bersyukur sahajalah kerana kerajaan masih rasional dan tidak menyerbu rumah serta tidak menyita kasut cucunya.