Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Mohd. Shahar Abdullah yang menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO dilihat mempunyai kelebihan berbanding calon lain atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen muda selama dua penggal.
Beliau yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 lalu di Parlimen Paya Besar dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan di bawah dua pentadbiran berbeza juga memberi kelebihan kepadanya. Selain itu, beliau juga berpengetahuan luas dalam selok-belok politik dan pentadbiran negara malah pernah menjadi Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi).
Kerjaya politiknya sudah bermula awal namun yang lebih penting, Shahar mempunyai visi dan misi jelas serta bakal menggariskan lima tekad untuk mengembalikan siasah pemuda yang sebenar. Dalam pada itu, Shahar turut mengingatkan para perwakilan untuk memilih pemimpin yang berwibawa di samping mengharapkan sokongan daripada akar umbi Pemuda UMNO. Shahar juga berharap para perwakilan memilih berlandaskan kepada kemampuan untuk memimpin dan mesti ada elemen keberanian serta kesempurnaan dari segi tindak tanduknya.
Baru berusia 42 tahun, tentu beliau amat memahami kehendak dan aspirasi anak muda dalam usaha mendekati mereka untuk bersama UMNO. Walaupun Undi18 menjadi cabaran, usaha ini boleh dilipatgandakan apatah lagi apabila Ketua Pemudanya kelak lebih cakna serta peka dengan isu anak muda dan permasalahan yang membelenggu mereka selama ini.
Seperti kata-kata Shahar, “Pastinya dengan pengalaman ini saya memahami setiap spektrum yang ada dalam kepimpinan demi memperkasakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia” – sekaligus menerajui platform utama untuk mendekati dan memahami kehendak serta aspirasi anak muda ini dalam usaha memujuk mereka kembali bersama UMNO.
In Sha Allah, dengan pemimpin yang berkebolehan dan strategi yang baik tentu Pergerakan Pemuda UMNO berupaya melakukannya.