Teknologi Maklumat (IT) melibatkan proses pengumpulan, pemprosesan, penyuntingan, memanipulasi, penyimpanan dan penyampaian maklumat yang menggunakan perantara teknologi. Dari itu, IT telah memberi kesan kepada seluruh aspek kehidupan kini, terutamanya bidang pendidikan.
Penggunaan teknologi juga membuka ruang kepada kepelbagaian pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif dan berpusatkan pelajar. Perkara ini telah mengubah amalan pembelajaran hari ini yang memerlukan kreativiti dan teknologi seiring dengan peningkatan prestasi pendidikan pelajar abad ke-21 (PAK21).
Kaedah pembelajaran yang menjadikan amalan pembelajaran dan pemudahcara (PdPc) berasaskan teknologi maklumat, menepati ciri-ciri PAK21, yang memerlukan kreativiti dan teknologi bagi menarik minat pelajar dalam sesuatu kursus terutamanya yang bersifat abstrak seperti pengaturcaraan dan kejuruteraan.
Kesukaran dalam menguasai ciri-ciri abstrak dalam sesuatu kursus yang bersifat abstrak menyebabkan proses pemahaman pelajar menjadi sukar. Strategi yang menjadikan IT sebagai alat bantu pembelajaran, berpotensi menggalakkan pemprosesan kognitif aktif pelajar dan sekaligus memberi kesan kepada peningkatan kemahiran pelajar.
Pendekatan Teknologi Maklumat
Modul pembelajaran yang direka dengan baik menggunakan IT dapat menjana pemprosesan kognitif aktif pelajar, terutamanya bagi kursus yang bersifat abstrak, modul pembelajaran yang efektif harus membolehkan pelajar untuk mengalami dan berinteraksi dengan situasi ciri-ciri abstrak, dan juga membolehkan mereka mengkonstruksi pengetahuan mereka sendiri dalam proses pembelajaran.
Pendekatan teknologi maklumat ini dapat membantu pelajar terutamanya novis menvisualisasikan sesuatu ciri-ciri abstrak dalam pembelajarannya bagi memastikan hasil pembelajaran yang optimum. Antara teknologi maklumat yang boleh menghasilkan modul pembelajaran yang kreatif adalah aplikasi berbentuk multimedia, aplikasi web, simulasi, animasi, mobil aplikasi dan banyak lagi.
Proses pembelajaran berbantukan Teknologi Maklumat (IT) yang bersifat interaktif dan dinamik ini mampu memberi kesan yang signifikan terhadap minat pelajar, meningkatkan motivasi serta prestasi pencapaian pelajar.
Secara tidak langsung, teknologi maklumat memberi peluang untuk pelajar mengalami situasi sesuatu teori atau konsep kursus bersifat abstrak itu sendiri dan mengembangkan pemahaman mereka melalui interaksi dengan modul pembelajaran.
Justeru itu, penggunaan IT dalam pendidikan boleh dianggap memanfaatkan kemajuan teknologi moden lagi canggih era digital, sebagai pemangkin kepada perkembangan dunia pendidikan.
Oleh Azura Binti Ahmad
Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Politeknik Balik Pulau