TVET BUKAN OPSYEN PENDIDIKAN KELAS KEDUA

367
SHARES
2.2k
VIEWS

TVET adalah singkatan kepada “Technical and Vocational Education Training” atau Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional. TVET adalah proses pendidikan dan latihan di mana hala tujunya lebih menekankan kepada amalan industri.

Dalam laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (www.moe.gov.my), TVET bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Laluan kerjaya pelajar dalam TVET bukanlah opsyen pendidikan kelas kedua. Oleh itu, persepsi masyarakat seperti ini perlulah diubah agar pelajar yang mengambil jurusan bidang ini tidak berasa rendah diri dan malu.

Dalam Berita Harian bertarikh 3 Febuari 2022, menyatakan bahawa TVET merupakan pilihan pertama kerjaya. Perkara ini jelas dalam bajet 2022, di mana kerajaan telah memperuntukan lebih kurang RM6.7 bilion bagi memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan. Ini termasuk 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih atau pelajar sekitar 250,000 orang.

Manakala dalam bajet 2023, kerajaan juga memperuntukkan lebih kurang RM6.7 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan memperkasa TVET. Sasaran kerajaan adalah sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam RMK-12.

Apa yang menarik tentang TVET pada hari ini ialah syarikat-syarikat besar mula mengambil alih kursus-kursus TVET di Malaysia. Kerajaan merancang penyediaan program latihan yang memenuhi keperluan industri dengan syarikat-syarikat besar tersebut.

Maka, sekurang-kurangnya 50 syarikat besar berusaha mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET supaya tidak berlaku pengangguran dalam kalangan belia dan sekaligus memenuhi keperluan industri.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang www.mohe.gov.my, PETRONAS akan menerajui kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri manakala DRB Hicom Bhd bagi kluster automotif di Pekan serta Kumpulan Sunway bagi kluster perhotelan dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi kluster pembinaan.

Antara operasi institusi TVET di Malaysia adalah seperti kolej komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Selain itu, kerajaan juga sudah mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ini membuktikan bahawa kerajaan mengambil berat dan memberi penekanan terhadap TVET dalam pendidikan kita pada hari ini terutamanya terhadap pelajar lepasan SPM.

Maka, laluan TVET dalam kalangan pelajar pada hari ini bukanlah opsyen pendidikan kelas kedua kerana TVET telah mula mendapat perhatian dari pelbagai pihak.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan program dermasiswa B40 TVET bagi menggalakkan pelajar B40 memilih laluan TVET sebagai kerjaya mereka.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa laluan TVET yang diambil oleh pelajar pada hari ini mempunyai masa depan yang cerah terutamanya melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat besar di Malaysia.

Oleh itu, pilihan pelajar kepada laluan TVET adalah tepat dan ia bukanlah pilihan terakhir pelajar selepas mendapat keputusan SPM. Persepsi tentang TVET sebagai opsyen pendidikan kelas kedua haruslah disingkirkan oleh masyarakat kita pada hari ini.

Institusi TVET sentiasa mendedahkan pelajar kepada teknologi baharu muncul (emerging technologies). TVET berfungsi sebagai platform pertukaran kepakaran dan teknologi antara institusi TVET dan industri.

Justeru itu, pendedahan laluan TVET harus diberikan kepada pelajar sejak awal lagi contohnya lepasan SPM mengenai faedah mengikuti pendidikan TVET dan potensi laluan kerjayanya.

Langkah ini juga sebagai pemangkin pembentukan Malaysia MADANI dan sekaligus memastikan bahawa Malaysia tidak ketandusan sumber tenaga kerja yang berpaksikan laluan TVET.

Disediakan oleh Ts. Dr. Norhanisha Yusof & En. Azrayhafizi Matzin

Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts