PRN 6 NEGERI: MENINJAU SOKONGAN ANTARA PENGUNDI KALI KEDUA DAN UNDI18

188
SHARES
606
VIEWS

Undi18 dan pengundi kali kedua yang banyak memihak kepada Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lepas dilihat tidak banyak berubah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak. Undi ‘solid’ tetap akan bersama Perikatan Nasional di mana sentimen pengundi-pengundi terhadap pemimpin-pemimpinnya yang kini berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah dilihat tidak akan ada banyak perubahan.

Mereka lebih teruja dengan naratif “No Anwar, no DAP” berbanding realiti semasa mengenai Perikatan Nasional yang terpalit dengan pelbagai isu, anak pemimpin sendiri terlibat rasuah dan salah guna kuasa, masalah negeri sendiri tidak terselesai, memperguna agama untuk kepentingan sendiri dan macam-macam lagi. Yang hakikatnya banyak perkara didiamkan dan tidak diambil peduli, asalkan “No Anwar, no DAP“.

Pengundi kali kedua pada PRU-15 lepas (pengundi pertama pada PRU-14) sememangnya ramai yang anti dengan Tun Mahathir, DAP dan Pakatan Harapan apatah lagi setelah ditipu berkati-kali berkaitan manifesto dan pelbagai lagi isu melibatkan Melayu Islam seperti ICERD, Statut Rom, penjualan harta dan aset Tabung Haji serta pelbagai lagi.

Mereka ini jelas menolak dan tidak mengundi UMNO-Barisan Nasional pada PRU-14 dan selepas ‘terkena’ dengan Tun Mahathir, DAP dan Pakatan Harapan, kesemua mereka ini ditolak dan undi mereka diberi kepada Perikatan Nasional.

Malah Tun Mahathir dan Pejuang paling terus menerima tempias apabila kesemua calon-calonnya termasuk Mahathir dan anaknya Mukhriz kehilangan wang deposit. Malah cubaan meletakkan calon daripada NGO Islam terkemuka iaitu Aminuddin Yahaya, selaku antara penggerak utama Pembela, Muafakat dan Isma, juga gagal apabila beliau juga kalah teruk seperti Mahathir.

Bagi pengundi-pengundi Undi18 pula, yang pertama mengundi di PRU-15 lepas, jelas sokongan memihak jauh lebih besar kepada Perikatan Nasional berbanding Pakatan Harapan mahupun UMNO-Barisan Nasional. Bahkan ada beberapa penganalisis meminta maaf selepas keputusan PRU-15 atas kesilapan tidak dapat ‘membaca’ corak dan pola pengundian, sehingga analisis sendiri tersasar.

Sungguhpun begitu, adakah PRN di enam negeri ini akan membuktikan sekali lagi dominasi Perikatan Nasional yang disokong kuat oleh Undi18 dan pengundi kali kedua, selain penyokong-penyokong tegar masing-masing? Jawapannya ya kerana tidak akan banyak berlaku perubahan sokongan berbanding PRU-15 apatah lagi UMNO-Barisan Nasional kemudiannya bergabung bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Realiti ini sukar diubah tetapi tidak perlu digusarkan kerana ‘trend‘ ini akan berubah sekali lagi sebelum PRU-16, di mana “proses perubahan” gagal dilakukan oleh Mahathir dan Pakatan Harapan pasca PRU-14, tetapi akan ditambah baik melalui proses pematangan kembali pasca PRU-15 – kerana rakyat sendiri akan melihat dan menilai sejauh mana kebenarannya wakil rakyat mereka benar-benar berkhidmat untuk mereka.

Yang hakikatnya hanya retorika politik yang akan digunakan kembali apabila menjadi pembangkang, menyalak dan menyalahkan semua perkara. Tetapi ketika mereka sendiri memerintah, bukan sahaja salah guna kuasa dan makan rasuah ketika darurat, malah titah YDP Agong sendiripun berani disanggah. Paling teruk, hukum Allah Taala berani diubah sesuka hati, sehingga rasuah yang harampun dihalalkan menjadi ‘derma’. 

Namun, dengan syarat (atau harapan) tidak akan berlaku lagi perubahan yang besar dari segi pucuk pimpinan negara dalam, waktu terdekat, sepertimana titah dan hasrat Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Jika tidak, negara akan kembali bergolak, pemimpin-pemimpin gila kuasa akan mencari akal untuk kembali berkuasa, “perang SD” akan kembali semula, tukar-menukar kabinet akan berterusan tanpa kesudahan yang akhirnya menjejaskan stabiliti dan ekonomi serta kemakmuran rakyatnya.

Justeru, kepada Allah Taala jualah kita berserah dan hanya kepadaNYA kita bergantung harap. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts