Sebelum ini Pemuda PAS Kelantan melalui Naib Ketuanya Mohd Firdaus Nawi meminta Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff berhati-hati semasa memberikan pandangan mengenai masalah kemudahan asas di Kelantan. Agus juga berkata bahawa beliau akan ke Pulau Pinang untuk menikmati “kelainan suasana” iaitu perbandingan lebih baik di negeri utara tersebut
Menurut Firdaus, KP J-KOM itu tidak cermat ketika mengkritik kerana masalah yang sama juga berlaku di Pulau Pinang. Sedangkan sudah menjadi hak Agus untuk memberi pandangan termasuk mempersoal apa yang berlaku di negeri sendiri. Malah kritikan beliau itu bukan isupun untuk dibangkitkan oleh Firdaus dan Pemuda PAS Kelantan, yang seolah-olah tidak dapat menerima hakikat apabila negeri itu dikritik.
Bukankah Agus hanya memainkan peranannya sebagai rakyat Kelantan yang mahu bangkitkan isu kualiti air, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat sebagai ‘root cause‘ yang masih tidak diselesaikan di sana?
Malah masalah yang berlanjutan di Kelantan ini merupakan realiti yang perlu dihadapi oleh PAS, bukannya asyik berdalih dan menyalahkan pihak lain. Selain itu, Firdaus dan kerajaan PAS Kelantan janganlah malu apabila dipertikai tetapi carilah jalan untuk selesaikannya segera.
Realitinya isu Agus atau sesiapa jua yang mengkritik selama ini sepatutnya tidak berlaku jika masalah utama di Kelantan itu segera diselesaikan, terutamanya ketika PAS mempunyai peluang ketika menjadi kerajaan bersama Perikatan Nasional. Sama juga isu hudud atau Rang Undang-undang Islam, ketika menjadi kerajaan tidak kedengaranpun PAS mahu ia dimuktamadkan atau diselesaikan.
Tetapi apabila menjadi pembangkang, isu ini kembali dimainkan dan PAS berlagak kononnya merekalah mangsa. Hakikatnya ketika di puncak kuasa, masalah yang berlaku di negeri sendiripun dilupakan. Nampak jelas hipokrasi PAS yang hanya tahu berpolitik, bukannya jujur mahu menyelesai masalah rakyat.
Kesimpulannya, PAS tidak boleh angkuh dan bersikap pantang ditegur hatta oleh rakyat negeri sendiri kerana cara defensif sebegini tidak akan membantu mereka menyelesaikan masalah sampai bila-bila. Cubalah bertenang, berfikir dengan cara yang betul serta buanglah sikap hiprokit yang semakin menebal, maka in sha Allah satu-persatu isu mampu diselesaikan.
Cukup-cukuplah hidup dalam sindrom penafian dah salah-menyalah kerana rakyat bukannya tuli dan tidak nampak.