Jika mahu menyentuh mengenai isu Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak, tidak boleh tidak isu UMNO di negeri Terengganu perlu diberi perhatian. Ini kerana negeri itu ‘dihimpit’ oleh dua negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang yang boleh dijadikan contoh untuk melihat apa yang berlaku dalam politik orang Melayu di tiga negeri tersebut selama ini.
Berbeza dengan Kelantan dan Terengganu, Pahang sudah selesai berdepan dengan PRN yang berlaku serentak semasa PRU-15 lepas. Namun keputusannya pula amat tidak dijangkakan iaitu UMNO Pahang yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Wan Rosdy tidak mampu membentuk kerajaan dan terpaksa bergabung bersama Pakatan Harapan.
Berbeza di Kelantan, PAS yang menyapu bersih 14 kerusi Parlimen ketika PRU-15, dijangka menguasai kesemua kerusi DUN di sana pada PRN kali ini. UMNO dilihat masih tidak berupaya mengatasi gelombang Undi18 yang telah mencetus fenomena baharu di seluruh negara ketika PRU-15 dan dijangka akan berlarutan sehingga PRN kelak.
Fokus kini tertumpu di Terengganu, sama ada UMNO bakal senasib dengan Kelantan atau masih mempunyai peluang sedikit seperti Pahang? Perlu diingat, di negeri Pahang, kerajaan negerinya sebelum PRU-15 diperintah oleh UMNO, berbeza di Terengganu yang diperintah PAS, tentu ia lebih sukar dan lain pendekatan yang diperlukan.
Apatah lagi bukan rahsia tekad PAS pusat mahu menang seratus peratus di DUN Kelantan dan Terengganu, bagi mengulangi dominasi mereka di PRU-15 serta menunjukkan kekuatan penuh di dua negeri tersebut, selain sengaja mahu memalukan UMNO.
Oleh kerana itulah UMNO Terengganu perlukan formula “boleh menang dan bukan kalah semuanya”. Jika UMNO negeri masih mahu menggunapakai formula atau strategi yang sama, daripada cadangan kumpulan atau individu yang sama semasa PRU-15, maka tidak mungkin cara itu mampu menghasilkan keputusan yang berlainan.
Jika perlu ditukar ‘poster boy’nya maka tukarlah. Pemimpin pusat pula tidak boleh asyik mendengar saranan dan nasihat daripada orang yang sama dan tidak pula menimbangkan pilihan yang lain. Peluang masih ada, tetapi ia perlu dilakukan dengan bijak dan bukan menyerahkan kepercayaan bulat-bulat dengan harapan UMNO akan menang.
Jangan simpan pemimpin yang hanya tahu menasihati apa yang mahu didengar, tetapi dengarlah realiti yang berlaku, terutamanya mengenai sentimen dan ‘signal’ penolakan rakyat terhadap beberapa pemimpin lama.
Selain itu, pembahagian kerusi bersama Pakatan Harapan juga amat penting, kerana peluang UMNO semakin menipis kerana sokongan bakal beralih kepada PAS sekiranya kerusi boleh menang di beberapa tempat tidak ditandingi UMNO. Jika gagal dirundingkan dengan cermat terutamanya kerusi di kawasan kampung, maka bersedialah UMNO menerima nasib sama seperti Kelantan.
Senario kekalahan di DUN Pahang juga perlu diambil kira, di mana UMNO gagal mengekalkan majoriti walau sebelum bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Bayangkan nasib UMNO Terengganu ketika kerjasama dengan Pakatan Harapan sudahpun dimeterai, tentu bukan mudah dan rugi jika salah formula dan strategi.
Justeru, pimpinan pusat jangan takut untuk mengambil sebarang tindakan drastik demi masa depan UMNO di Terengganu. Peluang yang masih ada itu janganlah disia-siakan, ubahlah ketika kesempatan masih ada.
Kelak apabila negeri sudah terlepas, menangis air mata darahpun sudah tiada gunanya.