Berita Yonhap melaporkan bahawa Korea Utara mengecam Sidang Kemuncak Korea Selatan-Jepun minggu ini antara Presiden Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida. Kecaman tersebut dibuat melalui saluran propagandanya, Uriminzokkiri pada hari Rabu, dengan berkata sidang tersebut membuka jalan kepada “pakatan sulit tentera” antara kedua-dua negara.
Yoon dan Kishida bertemu di Seoul Ahad lepas dalam pertemuan penuh diplomasi serta lawatan dua hala tetap antara pemimpin jiran, selepas hubungan renggang selama bertahun akibat perbalahan yang berpunca daripada pemerintahan penjajah Jepun antara tahun 1910 hingga 1945, termasuk isu buruh paksa.
Dalam tindak balas pertama Korea Utara terhadap sidang kemuncak itu, laman web propaganda mereka dilaporkan berkata, “pakatan sulit tentera antara Korea Selatan dan Jepun, yang sangat dikehendaki oleh Amerika Syarikat, memasuki peringkat untuk dilaksanakan secara tergesa-gesa.”
Uriminzokkiri juga mengkritik kenyataan Yoon yang mencadangkan Jepun boleh mengambil bahagian dalam Deklarasi Washington, perjanjian Seoul-Washington yang bertujuan untuk mengukuhkan komitmen pencegahan lanjutan AS.
Uriminzokkiri juga mendakwa dasar luar Yoon yang tunduk patuh telah memudahkan Jepun untuk menutup kekejaman lampau dan menjadi lebih berani dari segi tuntutan kedaulatannya ke atas pulau paling timur Dokdo di Selatan. Serta rancangan Tokyo untuk melepaskan air tercemar dari loji tenaga nuklear Fukushima.
Dalam masa yang sama, Pyongyang menyelar sidang kemuncak itu dengan berkata ia hanya akan menjadikan wilayah tersebut tidak stabil.
“Sekiranya Jepun secara berterusan membentuk pakatan tentera tiga pihak yang diketuai AS, memalingkan mukanya daripada realiti, ia akan menjerumuskan Timur Laut Asia ke kancah ketidakstabilan dan akhirnya mengubahnya menjadi ‘lautan api’, di mana ia akan musnah,” – laporan rasmi Agensi Korean Central News, melalui penyelidik di Institut Kajian Jepun, Korea Utara.
Laporan itu juga berkata kemungkinan penyertaan Jepun dalam Deklarasi Washington mewakili “niat jahat AS untuk menubuhkan pakatan tentera nuklear yang diketuainya di Timur Laut Asia.”
Ia menambah deklarasi itu sebagai senario yang mampu membuka jalan untuk berlakunya konfrontasi nuklear yang mengancam keamanan dan keselamatan bukan sahaja di Semenanjung Korea dan Timur Laut Asia, tetapi juga di seluruh dunia.