Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugasnya secara profesional agar rakyat tidak melihat badan tersebut seperti ‘diperguna’ oleh pihak tertentu.
Menurutnya, beberapa pertuduhan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dilihat sengaja menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan tujuanmahu merosakkan reputasi dan kredibiliti bekas Menteri Dalam Negeri itu.
Wan Fayhsal juga menuduh tindakan tersebut sebagai ‘pembunuhan karakter’, untuk mempengaruhi rakyat terutamanya menjelang pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Pertuduhan-pertuduhan tersebut dikenakan terhadap individu lain namun dengan sengaja menyasarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang bertujuan memalukan dan menjatuhkan imej serta kredibiliti beliau di mata awam.”
“Ini jelas satu pembunuhan karakter dibuat bagi mempengaruhi sokongan rakyat semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN) terutamanya menjelang pilihan raya enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.”
Apapun, perbicaraan di mahkamah kelak tentu boleh membersihkan nama Hamzah serta mendedahkan ‘niat jahat’ SPRM yang dituduh Wan Fayhsal sebagai sengaja menyasarkannya.
Semoga Hamzah yang bersih ini dapat ‘disucikan’ melalui mahkamah, namun bukan melalui pertuduhan yang digugurkan sekiranya Perikatan Nasional berjaya menumbangkan kerajaan.
Perikatan Nasional tidak boleh ulangi apa yang berlaku kepada Lim Guan Eng dan ramai lagi di bawah Pakatan Harapan, yang terlihat bacul dan takutkan perbicaraan.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli dan penyokong-penyokong Perikatan Nasional ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya.