KERAJAAN, SPRM DIGESA SIASAT BEBERAPA KEMENTERIAN TERPALIT PELBAGAI ISU DAN KONTROVERSI

340
SHARES
2k
VIEWS

Kerajaan dan Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera menyiasat beberapa kementerian yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi melibatkan aset serta kepentingan awam di negara ini.

Antaranya ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam isu aplikasi MySejahtera dan perolehan vaksin,  di mana sudah terlalu banyak laporan dan rungutan dari masyarakat yang ingin melihat kementerian ini disiasat segera. Ini kerana dalam isu program vaksinasi negara yang dilaksanakan ketika darurat, secara tidak langsung telah mendedahkan banyak kepincangan dan kerugian duit rakyat melalui pembelian vaksin, perkakasan serta pembelian peralatan kesihatan yang tidakpun berfungsi.

Perkara ini turut dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara namun Perikatan Nasional (yang ketika itu memerintah) dilihat tidak menyambut baik usul untuk ia dibentangkan di Parlimen. Isu ini juga meliputi masalah pembangunan aplikasi MySejahtera yang dikaitkan dengan negara Singapura, di mana siasatan menyeluruh perlu segera dilakukan bagi menjaga keselamatan negara. Rakyat masih belum lupa bagaimana sebegitu banyak kematian direkodkan walaupun kadar pengambilan vaksin di negara ini melebihi 80 peratus.

Mengenai Kementerian Wilayah Persekutuan (yang kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri), isu kepincangan serta pemberian tanah strategik dan plot ratio di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur kepada pihak tertentu wajar disiasat segera.

Selain itu, kerajaan dan SPRM juga digesa segera menyiasat Kementerian Sumber Manusia yang kerap kali terpalit dengan isu salah guna kuasa dalam pengambilan pekerja asing sejak sekian lama serta sebarang salah laku pentadbiran bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Ismail Sabri Yaakob, yang melibatkan pemberian dana ratusan juta kepada pasukan medianya juga perlu disiasat.

Dalam isu ini, tuduhan terhadap Ketua Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politiknya turut dilemparkan dan satu siasatan menyeluruh perlu diperlukan demi menjaga nama baik kedua-duanya jika benar-benar tidak bersalah. Sehingga kini mereka berdua masih belum tampil membuat sebarang penafian secara terbuka kepada mana-mana media di negara ini. 

Rakyat termasuk netizen juga mendesak agar pihak kerajaan menyiasat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam isu melibatkan pemberian projek tebatan banjir secara terus di mana menterinya yang terlibat telah menafikannya namun wujud pula dakwaan mengenai surat yang ditandatangani olehnya. Oleh kerana itulah kementerian ini juga wajar disiasat demi memastikan tiada sebarang salah guna kuasa atau rasuah dilakukan, selain demi menjaga nama baik kementerian tersebut.

Justeru itu, untuk semua isu di atas yang melibatkan beberapa kementerian dan bekas menterinya ini, termasuk kontroversi melibatkan KSUS dan Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, pihak kerajaan termasuk SPRM digesa agar tidak gentar untuk melakukan siasatan, kerana ia melibatkan kepentingan dan wang rakyat yang selama ini tertunggu-tunggu bilakah pertuduhan akan dimulakan.

Kerajaan tidak perlu bimbang dengan tohmahan pembangkang yang akan menuduh kerajaan menyasarkan pemimpin-pemimpin mereka kerana sudah terlalu banyak rungutan dan desakan rakyat yang mahukan kementerian -kementerian ini disiasat, bukannya isu dakwaan terpilih.

Bagi bekas menteri dan pegawai-pegawainya yang akan disiasat pula, tiada apa yang perlu ditakutkan jika tiada sebarang kesalahan dilakukan. Usahlah gentar dan gunakanlah mahkamah untuk membersihkan nama masing-masing.

Beranilah berdepan dengan pendakwaan jika anda benar-benar bersih dan tidak bersalah.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts