Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
PMX kata, “Negeri ini kaya, hasilnya banyak tetapi kenapa yang kaya makin kaya, yang miskin ramai?”
“Sebabnya wang yang ada, kontrak dan projek dicuri. Saya guna kuasa untuk selamatkan negara. Jangan ada yang mencuri sebaliknya bagi bantuan balik kepada rakyat.”
Sebenarnya isu atau kenyataan “yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin” bukan sekadar rasuah dan salah guna kuasa sahaja. Ia melangkaui batas rasuah dan salah guna kuasa.
Rasuah dan salah guna kuasa, itu sekadar retorika popular yang digunakan oleh ahli-ahli politik yang gagal memahami apa sebenarnya yang berlaku di dunia ini. Sebenarnya apa yang telah menjadikan orang kaya makin kaya dan orang miskin makin miskin itu adalah sebuah sistem.
Sistem yang diamalkan pada hari ini yang telah menyebabkan 90 peratus manusia di dunia ini menjadi miskin dan terus miskin. Baik sistem politik, ekonomi dan kewangan, pendidikan, perundangan dan lain-lain adalah dicipta oleh para elit global dan kapitalis untuk kepentingan mereka sahaja. Bukan untuk kepentingan manusia.
Golongan ini hanya 1 peratus sahaja namun mereka telah menguasai 90 peratus dari kekayaan dunia. Golongan ini menguasai dunia melalui proksi-proksi mereka di tiap-tiap negara. Para elit politik dan elit korporat adalah proksi-proksi mereka di tiap-tiap negara. Mereka ini adalah golongan yang mewakili 4 peratus manusia di dunia.
Manakala orang-orang seperti saya yang sedar mengenai apa yang berlaku di dunia ini hanyalah sekitar 5 peratus sahaja. Orang-orang yang seperti saya ini yang terus berusaha untuk menyedarkan manusia lain tentang kebobrokan sistem yang diamalkan pada hari ini.
Sebab itu kami akan sentiasa ditekan, dianiaya dan dizalimi oleh proksi-proksi golongan elit global ini walau dimana juga kami berada. Mereka tidak mahu kami menyedarkan manusia lain tentang bagaimana sistem yang diamalkan pada hari ini telah memperbodohkan dan memperhambakan majoriti manusia di dunia ini.
Tanpa kesedaran kita tidak akan dapat melepaskan diri kita dari dibelenggu oleh sistem ciptaan para elit global dan kapitalis ini. Ini kerana kita telah didoktrin untuk taat dan akur dengan sistem ini semenjak kita di bangku sekolah.
Kita diasuh untuk jadi penganut dan pengikut yang baik kepada sistem ini. Dengan menjadi penganut yang baik, kita akan terus kekal menjadi pengikut dan hamba abdi yang baik kepada mereka. Kita akan menerima apa sahaja yang bakal disuapkan ke dalam mulut kita oleh mereka. Hatta untuk meninggalkan ajaran-ajaran agama sekalipun.
Sebagai contoh riba’, seluruh umat Islam dan umat Kristian tahu bahawa riba’ itu haram dan wajib ditinggalkan, namun terlalu sedikit dari umat Islam dan umat Kristian yang mampu meninggalkannya. Kenapa? Adakah ini kerana education atau indoctrination? Jika education kita akan semakin taat dan patuh kepada pencipta kita. Bukan semakin engkar.
Jadi sekolah bukan tempat untuk mencari education tetapi adalah pusat indoctrination. Indoktrinasi untuk sebuah sistem. Sistem yang akan menyebabkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.
Maka sedarlah bahawa sistemlah yang telah menyebabkan para elit global dan kapitalis menjadi kaya dan semakin kaya hari demi hari. Manakala golongan miskin pula walau belajar sepandai mana sekali pun dan bekerja sekuat mana sekalipun akan tetap miskin dan semakin miskin.
Ini bermakna bukan anda semua bodoh atau malas tetapi sistem yang kita amalkan pada hari ini yang telah membuatkan anda semua berada pada posisi anda masing-masing pada hari ini.
Berusahalah untuk menyedarkan diri anda semua demi kepentingan anda dan generasi anda yang akan datang. Tidak ada masa yang lebih sesuai untuk berubah selain dari sekarang.
Terus mengikuti nota-nota saya, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan kepada anda semua.
Dato’ Dr. Ramalan Yunus
Penganalisis Politik Dan Ekonomi Bebas
13 Mei 2023