Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation dilihat seperti disabotaj pihak tertentu apabila tidak mendapat slot tayangan seperti diharapkan, walaupun baru beberapa hari sahaja ditayangkan.
Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff mendakwa, ada beberapa pawagam enggan menawarkan lebih slot tayangan untuk filem biopik mengenai kisah jatuh bangun Perdana Menteri kesepuluh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjuangannya menentang rasuah.
Filem yang diarahkan oleh Pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi oleh Farid Kamil yang membawa watak Anwar ssrta Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Wan Azizah.
Filem biopik tersebut berkisarkan kehidupan sebenar Anwar dalam politik sehingga menjadi pemimpin kedua tertinggi negara yang kemudiannya dipecat oleh Tun Mahathir atas kesalahan liwat.
Filem itu turut menceritakan mengenai insiden ‘mata lebam’ Anwar yang ditumbuk oleh Tan Sri Rahim Noor, ketika itu menjawat jawatan Ketua Polis Negara.
Apapun, isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin memandangkan ia merupakan naskhah tempatan mengenai kisah jatuh bangun Perdana Menteri dalam politik yang sepatutnya diberikan perhatian lebih daripada filem asing.