Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Bila ada pemimpin UMNO yang membuat kenyataan menyeru ahli-ahli UMNO untuk mengundi DAP maka kecoh satu Malaysia. Kononnya belum ada lagi pemimpin UMNO sebelum ini yang telah berbuat demikian.
Ini kenyataan orang yang buta dengan sejarah politik di Malaysia. Sudah ramai bekas pemimpin UMNO yang berbuat demikian. Mereka hanya Anti DAP sewaktu berada di dalam UMNO sahaja. Apabila mereka keluar dari UMNO, mereka merangkul para pemimpin DAP.
Apa salahnya ahli-ahli UMNO mengundi DAP? Bukankah realiti politik UMNO hari ini memerlukan ahli-ahli UMNO untuk mengundi DAP? Bukan kerana DAP tetapi kerana Kerajaan Perpaduan dan kerana taat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Ini yang menjadi dasar dan sandaran kepada kerjasama antara UMNO dan PH yang dianggotai oleh PKR, Amanah dan DAP. Kini UMNO dan DAP adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. UMNO dan DAP memang harus berkerjasama walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. Mereka perlu bantu membantu antara satu sama lain.
Ahli-ahli UMNO tidak perlu terpengaruh dengan kata-kata dan slogan anti DAP dari bekas para pemimpin UMNO. Kalau mereka itu benar-benar anti DAP, kita minta mereka bertanding di kawasan DAP. Jangan bertanding di kawasan UMNO. Itu baru betul yang mereka itu anti DAP.
Tetapi sekiranya mereka tetap bertanding di kawasan UMNO, ini bermakna bahawa mereka itu sebenarnya anti UMNO. Bukan anti DAP.
Hari ini Bersatu dan PAS menjadi anti DAP kerana mereka tidak mahu akur dengan titah Tuanku dan menyokong Kerajaan Perpaduan. Itu sahaja motifnya. Kalau benar mereka anti DAP sudah pasti mereka akan bertanding di kawasan DAP. Bukan di kawasan UMNO.
Jadi sebenarnya mereka bukan anti DAP tetapi anti UMNO. Jadi kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia, jangan terpengaruh dengan permainan sentimen dan persepsi dari para pemimpin Perikatan Nasional.
Mereka ini sanggup memainkan sentimen agama dan bangsa hanya semata-mata kerana mahu berkuasa. Mereka mahu melepaskan diri dari didakwa di mahkamah atas pelbagai jenayah yang telah mereka lakukan sewaktu mereka berkuasa.
Bukankah sudah terbukti apabila mereka berkuasa mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negara ini?
Oleh itu kepada seluruh orang Melayu dan umat Islam, ingatlah! Bahawa Melayu itu bukan Bersatu dan Bersatu bukan Melayu.
PAS juga bukan Islam dan Islam juga bukan PAS.
Bersatu dan PAS hanyalah parti-parti politik dalam sistem demokrasi di Malaysia yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan kuasa.
Dalam keadaan krisis ekonomi seperti hari ini, kita tidak sepatutnya berpecah-belah. Kita harus bersatu dan berkerjasama untuk memulihkan kembali ekonomi kita dan ekonomi negara.
Siapa yang mahu melabur di negara yang politiknya tidak stabil? Tanpa kehadiran para pelabur dari luar negara, bagaimana kita mahu memulihkan kembali ekonomi kita? Hutang negara sudah berjumlah RM1.5 trilion dan belanjawan kita sudah defisit selama 25 tahun.
Adalah tidak wajar kalau kita mahu terus meminjam lagi untuk membiayai perbelanjaan negara. Satu-satunya peluang adalah dengan menarik pelaburan asing ke dalam negara kita.
Demi untuk melakukannya, kita perlukan kestabilan politik dan sebuah kerajaan yang kuat. Jadi kita tidak ada pilihan lain selain dari memberikan sepenuh sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Penyatuan Melayu yang ditaja oleh Tun Mahathir dan Perikatan Nasional hanya merugikan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Mereka anti DAP kerana DAP sudah tidak mahu lagi bekerjasama dengan mereka. Itu sahaja.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas