Tan Sri Shahrir Samad hari ini mengucapkan setinggi tahniah atas kejayaan negara berjaya mengenepikan tuntutan Sulu di Mahkamah Rayuan Paris yang mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr. Gonzalo Stampa.
“Kejayaan negara, ikut kenyataan Menteri Dato Azalina, adalah hasil usaha dan kerjasama dua lagi menteri dan kementerian – Dato Zambry Kadir (Kementerian Luar) dan Fahmi Fazil (Kementerian Kommunikasi).”
“Terbukti Kerajaan Perpaduan mampu membetulkan kerosakan peninggalan Kerajaan PH 1.0 dan kealpaan dua pentadbiran selepas itu.”
“Pencapaian malap negara di Sukan SEA yang ikut pengakuan Menteri Hannah Yeoh adalah disebabkan oleh Langkah Sheraton. Tetapi kali ini, Langkah Sheraton yang mengakibatkan kejatuhan Kerajaan PH 1.0 sebenarnya yang membawa kejayaan mempertahankan maruah dan martabat negara!”
“Bayangkanlah kalau Tun Mahathir dan Tommy Thomas masih berada di tampuk pemerintahan negara! Kesudahannya mungkin membahayakan negara dan rakyat!“
Dalam posting yang sama di laman Facebook beliau, Shahrir juga menyeru kerajaan agar meneruskan segala usaha untuk membetulkan kesilapan dan ‘kedurjanaan’ Tun Mahathir dan Kerajaan PH 1.0 pimpinannya. Menurutnya, masih banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Tun Mahathir sebelum ini yang terpaksa diwarisi oleh kerajaan selepasnya.
Sebagai rekod, selepas Pakatan Harapan 1.0 tumbang dengan sendirinya apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin dilihat meneruskan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan sebelumnya.
Ini termasuklah tidak memulihkan atau membeli kembali aset dan harta Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), menyelesaikan projek LCS, kes Adib yang terbunuh kemudiannya akibat rusuhan tetap tidak terbela dan projek HSR juga tidak mampu dipulihkan.