GELARAN TUN ATAU TAN SRI, MANA SATU “LEBIH MULIA”?

352
SHARES
2.1k
VIEWS

SURAT PEMBACA | Saya terkejut membaca di media sosial mengenai ketidakpuasan hati seorang individu yang mengaku sebagai cucu kepada Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang berkata keluarga mereka terkilan dan tidak berpuas hati kerana arwah dicanang (atau dijanjikan) dianugerahkan gelaran ‘Tun’ tetapi kemudiannya hanya diberi ‘Tan Sri’. 

Saya juga terkilan kerana keluarga arwah seolah-olah tidak menghargai anugerah dari YDP Agong kerana mahukan gelaran yang lebih tinggi, yang bagi saya itu sangat tidak wajar dan merupakan hak prerogatif baginda untuk memberi apa jua gelaran yang sesuai. 

Selepas membaca kenyataannya itu saya juga tertanya-tanya dan dalam masa yang sama berasa geli hati kerana sebagai cucu dan keluarga kepada seorang ulama yang disegani, malah mereka sendiri banggakan, tidakkah mereka ini diajar dari kecil bahawa ‘gelaran dunia’ ini tiada apa-apa nilai di sisi Allah Taala?

Kalau orang bukan Islam mempertikainya saya rasa mungkin tidak mempunyai masalah namun jika keluarga ulama sendiri ‘kemaruk’ mahukan gelaran untuk arwah yang sudahpun lama meninggal dunia, ia sungguh mendukacitakan. 

Ini kerana umat Islam satu dunia tahu bahawa Allah Taala hanya melihat iman dan amal seseorang dan bukannya apa gelaran yang beliau ada semasa di dunia. Malah jika ada sebarang gelaran diberi semasa hidup ia hanya digunakan ketika masih bernyawa, malah di batu nisanpun tidak akan dipahat namanya.

Selain itu, cucunya itu mempertikai kerajaan yang hanya memberi gelaran Tan Sri namun realitinya selama tujuh belas bulan parti PAS bersama Perikatan Nasional, ditambah selama tiga belas bulan bersama Keluarga Malaysia, kenapakah Perdana Menteri mereka tidak memberikan gelaran Tun kepadanya? 

Sebaliknya, kurang daripada tujuh bulan Perdana Menteri dari Kerajaan Perpaduan memerintah, di mana  tiada satupun pemimpin-pemimpin PAS dalam kerajaan ketika ini namun Alhamdulillah Allahyarham Nik Aziz dicadang dan dianugerahkan gelaran Tan Sri. Bukankah ini satu perkara yang baik serta sepatutnya tidak mengundang sebarang kecaman ataupun rasa tidak puas hati kepada kerajaan?

Justeru, ahli keluarganya janganlah terpedaya dengan ‘kemuliaan’ gelaran yang hakikatnya merupakan kepalsuan dunia. Jika arwah diberi gelaran Tun sekalipun, wallahi ia sedikitpun tidak akan meninggikan darjatnya. Sama juga jika langsung tidak bergelar tetap tidak akan mengurangkan darjatnya walaupun sedikit.

Belajarlah erti bersyukur nescaya Allah akan tambahkan nikmat. 

Cucu orang biasa

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts