Pada sesi temu mesra bersama pemilik rumah mampu milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum kerajaan bersetuju memberikan pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus kepada pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
“Dalam ucapan, saya singgung bahawa inisiatif berkenaan yang bermula penggal kedua tahun 2023 adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini dan pengurangan 25 peratus itu adalah sehingga penilaian semula dilaksanakan.”
“Hatta, pengurangan cukai taksiran ini memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di ibu kota.”
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut memperkenalkan lima projek pembangunan Kejiranan MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Lima projek yang akan dibangunkan itu melibatkan Residensi Prihatin MADANI, Residensi MADANI, Residensi Sejahtera MADANI, Rumah Majlis MADANI dan Rumah Ihsan MADANI.
Nescaya, kesemua projek itu akan memberi peluang kepada golongan M40 dan B40 serta golongan belia memiliki rumah dengan harga antara RM150,000 hingga RM200,000.