DUN SELANGOR: CATATAN AWAL PRN 2023

454
SHARES
2.7k
VIEWS

1. Kelmarin DUN Selangor dibubarkan. Sebaik pembubaran, PN mengadakan Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional Selangor.

2. Pemimpin dan penyokong PN yakin akan menang di Selangor. Hujah mereka tertumpu pada isu agama dan kaum, iaitu rakyat tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang mengabaikan kepentingan Islam dan Melayu. Apa yang diabaikan tidak dinyatakan, melainkan hasutan bahawa kedudukan Melayu dan Islam terancam kerana DAP ada bersama.

3. Untuk mengukuhkan hujah mereka, PN menyatakan kemenangannya di enam kerusi Parlimen Melayu di Selangor dalam PRU ke-15 yang lalu, termasuk di Sabak Bernam dan Tanjong Karang adalah kerana sokongan Melayu.

4. Dengan keyakinan bahawa pengundi Melayu akan terus mengundi PN dalam PRN ini, maka mereka meramalkan PN akan menang di 33 kerusi DUN Selangor yang mempunyai 60 peratus pengundi Melayu.

5. PN juga yakin menang kerana akan menawarkan calon yang tiada kes mahkamah, profesional dan berpengalaman. Siapakah calon itu tidak dinamakan? Usahkan hendak menamakan calon, ‘poster boy‘ juga belum berani dinamakan. Ini kerana PN sebenarnya tidak mempunyai calon Menteri Besar atau poster boy yang berwibawa.

6. PN juga yakin menang kerana mendakwa kerjasama antara parti gabungannya PAS, Bersatu dan Gerakan adalah lebih harmoni dan kukuh daripada gabungan PH-BN. Mereka juga menyatakan UMNO dan PH berebut kerusi dan UMNO tidak mempunyai pemimpin di Selangor.

7. Akhirnya, PN menyatakan masyarakat Cina sudah beralih sokongan kerana tidak berpuas hati dengan DAP. PN tidak faham budaya politik orang Cina. Dengan sikap anti-Cina orang PN, jikapun mereka menolak PH-BN, mereka lebih sanggup tidak keluar mengundi daripada mengundi PN.

8. Dengan rekod kemajuan negeri yang diperintah oleh PN seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, saya lihat pengundi Selangor tidak tertarik untuk mengundi PN. Mereka tidak mahu mundur.

9. Jika PN masih mengharapkan kepada gelombang hijau untuk menang, sedarlah gelombang itu telah menyusut teruk. Pengundi Selangor menolak ekstremisme dan politik ketaksuban serta tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam.

10. Dalam PRN ini, pengundi Selangor sedar negeri mereka adalah kubu terpenting Kerajaan Perpaduan yang perlu dipertahankan. Mereka sedar pemimpin yang mempunyai rekod baik dan cemerlang mentadbir Selangor ialah Amiruddin Shari, Menteri Besar sekarang—tiada korupsi, seleweng, atau salah guna kuasa yang merugikan negeri.

11. Bagi pengundi Selangor, pesan saya satu: Mari kita bersatu hati dalam PRN ini untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan. Inilah kerajaan yang dapat membawa kestabilan dan kemakmuran kepada masa depan negara.

Oleh Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts