Sebelum PRU-14, muncul istilah kleptokrasi. Istilah itu dimunculkan untuk menggambarkan bahawa kerajaan pada masa itu yang dipimpin oleh DS Najib adalah kerajaan yang dikuasai oleh perasuah.
Kleptokrasi adalah pemerintahan oleh golongan yang merompak dan menyamun wang rakyat dan negara. Atas dasar itu negara telah dilabel sebagai juara dunia dalam korupsi oleh Wall Street Journal (WSJ), sebuah media komuniti pelaburan yang terkemuka di Amerika Syarikat.
Realiti yang tidak mampu kita batalkan. Namun setelah kerajaan DS Najib berjaya ditumbangkan pada PRU-14, kita telah ditadbir pula oleh tiga kerajaan. Iaitu kerajaan PH, PN dan PN 2.0. Malangnya ketiga-tiga kerajaan ini tidak berkemampuan untuk mentadbir dan mengelola sistem dan jentera pentadbiran dengan baik.
Akibat ketidakmampuan tiga kerajaan tersebut untuk mengurus dan mentadbir negara maka negara terus dilanda dengan kemelut politik dan ekonomi sehingga ke hari ini.
Untuk menggambarkan ketidakmampuan tiga kerajaan tersebut maka muncullah satu lagi istilah yang semakin popular kini iaitu ‘kakistokrasi’. Kakistokrasi bermaksud sebuah pemerintahan di bawah pimpinan orang yang paling teruk dan tidak layak memimpin.
Dalam tempoh satu penggal iaitu dari PRU-14 hingga ke PRU-15, hutang negara sudah bertambah dari RM686.8 billion kini sudah menjadi RM1.5 trillion. Dari tiga kerajaan tersebut, kerajaan PN di bawah pimpinan TS Muhyiddin Yassin dilihat paling buruk sekali prestasinya.
Ketidakmampuan kerajaan TS Muhyiddin Yassin menangani Plandemik Covid-19 maka hari ini ekonomi rakyat dan negara berada dalam keadaan yang cukup kritikal.
Nilai ringgit terus merudum, pasaran saham juga turut merudum, inflasi semakin tinggi dan ini sekaligus telah menyebabkan kos sara hidup rakyat terus meningkat. Suasana ini telah menyebabkan kehidupan rakyat semakin sengsara dari hari ke hari.
Walau bagaimanapun golongan kakistokrasi ini tahu bagaimana cara untuk mengalih pandangan rakyat terhadap kelemahan mereka dengan memainkan sentimen agama dan bangsa. Mereka juga turut menyerang lawan politik mereka dengan permainan persepsi.
Akibatnya sebahagian besar rakyat kini terus beremosi dalam menghadapi suasana yang mencabar pada hari ini. Refleksi dari kekecewaan rakyat terhadap apa yang sedang berlaku maka muncul pertanyaan di tengah masyarakat, mana yang lebih baik sebenarnya antara kleptokrasi dan kakistokrasi?
Secara rasionalnya sudah pasti lebih baik dirompak dan disamun oleh golongan kleptokrasi berbanding dihancurkan oleh golongan kakistokrasi.
Namun secara logiknya apabila dari satu sisi kita dirompak dan disamun dan dari satu sisi yang lain pula kita dihancurkan sudah pasti kita akan berada dalam keadaan yang cukup parah.
Maka itulah keadaan yang sedang kita hadapi pada hari ini. Kita sebenarnya berada dalam keadaan darurat. Darurat politik dan juga darurat ekonomi.
Ini merupakan satu keadaan yang cukup luar biasa. Maka keadaan yang luar biasa seperti hari ini harus ditangani secara luar biasa juga. Bagi memulihkan kembali keadaan kita sebenarnya tidak ada pilihan lain selain dari menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat sekali lagi.
Wujudkan “care taker government” atau “war time cabinet” atau MAGERAN untuk mentadbir dan memulihkan kembali negara ini. Kita tidak perlukan politikus pada masa ini. Kita lebih perlukan sekumpulan pakar untuk melakukan “turn around exercise” bagi memulihkan kembali keadaan negara.
Sempena meraikan sambutan Aidil Adha atau Hari Raya Korban, marilah sama-sama kita korbankan kepentingan peribadi kita demi mencapai kestabilan dan kemakmuran buat kita semua.
Sama-sama kita bina Malaysia yang Madani yang Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghaffur.
Selamat menyambut Eid Al Adha dari saya Al Fakir Ilallah.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas