PELANTIKAN AHMAD SHABERY CHEEK SEBAGAI PENGERUSI FELDA

349
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2023. FELDA optimis bahawa pelantikan ini akan dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi FELDA yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu FELDA keseluruhannya.

FELDA turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi FELDA pada 30 Jun 2023. Sepanjang tiga tahun perkhidmatan, YBhg. Tan Sri telah mengangkat FELDA kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka FELDA.

Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022. Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka.

Bagi memperkasakan pendidikan generasi baharu FELDA, YBhg. Tan Sri turut memperkenalkan inisiatif FELDA Digital Maker Hub Coding & Robotic, smart classroom serta menaik taraf MRSM FELDA sebagai salah sebuah MRSM Ulul Albab. Inisiatif-inisiatif ini memberikan peluang kepada generasi baharu FELDA untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka.

YBhg. Tan Sri juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima. Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf FELDA yang kini telah mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri.

Pelbagai kejayaan lain yang dikecapi juga menjadi bukti komitmen berterusan YBhg. Tan Sri untuk mentransformasikan FELDA sebagai agensi perladangan terbaik yang menjaga kebajikan komuniti peneroka.

Seluruh warga FELDA mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan atas segala sumbangan YBhg. Tan Sri serta mengalu-alukan kehadiran YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA yang baharu.

JABATAN KOMUNIKASI STRATEGIK FELDA

28 JUN 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts