YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat bersama anak-anak muda dalam program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, semalam. Beliau sempat memperjelas agenda Kerajaan Perpaduan serta menjawab pelbagai soalan daripada mahasiswa.
Perdana Menteri juga mengingatkan anak-anak muda agar dapat menggilap idealisme serta mempunyai minda yang kritis dan terbuka dalam mengetahui pelbagai permasalahan dalam negara, selain mengelak diri dari mengacung naratif-naratif yang menajamkan faham perkauman.
YAB Perdana Menteri turut menyarankan golongan muda untuk memangkin budaya politik yang baharu untuk Malaysia yang lebih madani dan berketrampilan.
Beliau juga seringkali menerima aduan daripada mahasiswa terkait masalah internet di institut pengajian mereka dan telah meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk memberi keutamaan supaya tahap kesalinghubungan di kampus bertambah baik.
Juga dibangkitkan sewaktu sesi soal jawab adalah mengenai sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan yang perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagaimanapun suatu pendekatan baharu bagi menjamin peluang pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang mendapat peluang ke bidang kritikal seperti perubatan perlu dilaksanakan bagi mengelak negara terus kehilangan bakat.