FELDA: PERDANA MENTERI LAKSANA PEMANSUHAN HUTANG PENEROKA

352
SHARES
2.1k
VIEWS

1. Semasa Sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai lalu, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita istimewa buat peneroka, iaitu Jaminan Kerajaan bagi penstrukturan semula pinjaman FELDA melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan sebagai usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.

2. Kelulusan itu membawa kepada pemansuhan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion (80 peratus) yang dilaksanakan pada tahun 2021. Namun, ramai tertanya-tanya, bukankah pengumuman pemansuhan ini telah dimaklumkan oleh PM ke-8 pada tahun 2021? Jadi apa bezanya pengumuman dahulu dengan yang sekarang?

3. Benar, pada tahun 2021 pelupusan hutang peneroka FELDA diumumkan, namun FELDA masih berhutang melalui sukuk bagi tujuan mengambil alih FGV, membayar hutang KWSP dan Maybank. Jumlahnya melebihi 9 billion. Jadi, bagaimanakah cara untuk FELDA melangsaikan hutang tersebut?

4. Ketika itu, PM ke-8 menyatakan bahawa Kerajaan akan membayar sebanyak 1 billion setahun selama 10 tahun bermula pada tahun 2022. Ironinya, ia tergantung dan tidak dilaksanakan kerana tiada dokumen kelulusan dari Kerajaan bagi membolehkan hutang yang banyak tersebut diselesaikan. Hatta dalam peruntukan belanjawan negara tahun 2021 dan 2022, ia tidak dimasukkan.

5. Sehinggalah Datuk Seri Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan negara, beliau meneliti isu tersebut dan akhirnya berjaya memuktamadkan keputusan Kerajaan untuk meluluskan sejumlah besar kewangan kepada FELDA. Iktibarnya, setiap pengumuman perlu disusuli dengan dokumen rasmi keputusan kelulusan, barulah ia boleh dilaksanakan oleh penjawat awam.

6. Keputusan YAB Perdana Menteri tersebut turut diperkemas dengan penambahbaikan ke atas tatakelola penyaluran dana kepada FELDA supaya pelan transformasinya berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.

7. Lebih menggembirakan di Hari Peneroka FELDA, mereka mendapat lebih dari apa yang harap-harapkan, apabila 4 permohonan yang dikemukakan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, dibalas dengan pengumuman 7 kelulusan oleh Datuk Seri Anwar dalam ucapannya. Sungguh istimewa FELDA di hati YAB Perdana Menteri.

8. Semua berita baik ini tentunya disambut baik lebih 10 ribu peneroka dari seluruh negara yang membanjiri MAEPS ketika sambutan berkenaan berlangsung, dan bakal memberi manfaat secara langsung buat 112,000 peneroka serta menyokong usaha menaik taraf kehidupan lebih 2 juta komuniti FELDA yang majoritinya adalah orang Melayu.

9. Semoga roh MADANI terus meresap ke dalam jiwa setiap warga FELDA, supaya iltizam mengembalikan kegemilangan FELDA mampu dilaksanakan, bersesuaian dengan tema sambutan kali ini, “Peneroka Sejahtera, FELDA MADANI”. Buktikan kesyukuran kita dengan bekerja membangunkan FELDA dan negara.

10. Ingatlah, FELDA suatu nama yang hebat!

Peneroka Sejahtera

FELDA MADANI

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts