PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI SEMPENA MAAL HIJRAH 1445H

67
SHARES
216
VIEWS

Menghimbau sejarah penghijrahan Rasul mendirikan kota Madinah, tatkala Baginda meletakkan asas tatacara dan tatakelola sistem pemerintahan Islam, Baginda mendahuluinya dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai dan prinsip.

Daripada didikan kerohanian ini terbitnya dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua.

Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman. Pakatan para Muhajirin bersama Ansar, dan sebelumnya bersama Raja Ashamah, pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.

Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu.

Demikianlah hijrah Rasul dan para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman. Adapun kita pada hari ini, maka sayugialah dipertahankan bumi bertuah ini daripada anasir perkauman yang memecah-belah.

Keamanan dan kestabilan kini maqasid utama kita agar kebajikan rakyat terbela. Sementara sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara, walau seinci pun tidak sesekali akan dibiarkan.

Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.

Berhijrah dari kemungkaran kepada kebaikan, dari kebejatan rasuah kepada amanah, dari ketaksuban kepada minda yang merdeka, dan dari perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat).

Selamat menyambut Tahun Baru hijrah buat seluruh umat Islam di Malaysia.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts