KESOPANAN DAN KESUSILAAN – DR. RAMALAN YUNUS

364
SHARES
2.1k
VIEWS

Ada sedikit berita panas dari negara jiran kita iaitu Singapura yang ingin saya kongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Berita ini cukup menarik dan semoga ia dapat menjadi perhatian dan pengajaran buat kita semua.

Speaker Parlimen Singapura bersama dengan seorang Ahli Parlimen telah meletakkan jawatan pada hari Isnin 17 Julai 2023 kerana kes perselingkuhan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataannya telah menerima perletakan jawatan Speaker Parlimen iaitu Tan Chuan Jin dan Ahli Parlimen Cheng Li Hui untuk “mempertahankan standard tinggi kesopanan dan perilaku peribadi” dari People’s Action Party atau PAP.

Perdana Menteri Singapura menyatakan bahawa mereka menjalin “hubungan yang tidak sewajarnya” yang berlanjutan bahkan setelah beliau menyuruh mereka untuk menghentikannya pada Februari lalu.

Skandal tersebut telah menyebabkan parti tersebut berada dalam kekacauan setelah penyiasatan kes rasuah peringkat tinggi yang jarang berlaku yang melibatkan seorang menteri kabinet. Kes penyiasatan rasuah tersebut adalah terhadap Menteri Pengangkutan Singapura.

Ini adalah perkembangan terbaru yang telah menggoncang PAP yang telah mentadbir Singapura tanpa gangguan selama 64 tahun dan berbangga sebagai pentadbiran yang bebas rasuah. Begitu bersungguh-sungguh sekali pucuk pimpinan PAP dalam menjaga nama baik dan kehormatan parti mereka.

Bagaimana dengan kita di Malaysia? Adakah kita mengamalkan standard yang sama sebagaimana PAP di Singapura? Bagaimana dengan standard “Kesopanan dan Kesusilaan” ahli parti-parti yang telah mentadbir negara semenjak merdeka pada tahun 1957?

Adakah tidak cukup memalukan sebagai sebuah negara Islam, Malaysia telah diisytiharkan sebagai juara korupsi dunia oleh Wall Street Journal atau WSJ? Sedangkan pada hakikatnya “Kesopanan dan Kesusilaan” itu merupakan prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Namun “Kesopanan dan Kesusilaan” kelihatannya tidak begitu dihayati dalam konteks maksud dan standardnya yang sebenar. Sampai bila kita mahu bernegara tanpa menghayati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan juga berada dalam landasan Perlembagaan Persekutuan?

Sampai bila para politikus kita mahu terus berpolitik seperti badut sarkas dengan aksi-aksi lawak bodoh macam orang yang tidak siuman? Belum lagi dengan pelbagai skandal dan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Seharusnya dalam era baru ini semua pihak menjunjung tinggi tema dan proses Islah dan Tajdid atau restorasi dan transformasi untuk mengembalikan negara ini ke landasan yang sebenar. Sekiranya proses politik sudah tidak boleh diharap untuk untuk mendisiplinkan para politikus maka adalah wajar untuk kita mencuba kaedah pentadbiran ala kuku besi di negara ini.

Pasca PRU-15 kita telah menyaksikan bagaimana para elit politik sudah tidak lagi menghormati Istana Negara dan institusi Raja-raja Melayu. Terlihat jelas bahawa kesetiaan sebilangan rakyat negara ini adalah kepada para pemimpin politik dan parti-parti politik. Bukan kepada Raja dan Negara.

Paling membimbangkan ialah apabila isu agama, bangsa dan Raja terus dieksploitasi dan dimanipulasi oleh para politikus. Cukup merbahaya apabila permainan persepsi dan sentimen disandarkan kepada isu agama, bangsa dan Raja.

Ini memancing ghairah masyarakat, menjadikan mereka lebih gemar dan lebih fokus membicarakan soal politik sedangkan masalah yang sedang dihadapi ialah masalah ekonomi.

Maka saya kira sudah sewajarnya langkah atau kaedah yang lebih drastik, tegas dan keras diperkenalkan untuk mendisiplinkan para politikus dan rakyat Malaysia. Harapan dan masa depan rakyat dan negara ini sebenarnya bukan kepada para politikus tetapi adalah kepada Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu.

Saya kira sudah waktunya kita mengembalikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran sepenuhnya kepada Istana Negara dan Majlis Raja-raja Melayu sekiranya benar kita sayangkan agama, bangsa, Raja-raja Melayu dan negara ini.

Sudah sampai masanya kita mengakui bahawa Sistem Demokrasi Berparlimen sudah gagal untuk membina sebuah negara bangsa yang berkualiti dan mempunyai standard yang tinggi. Kita sudah tersasar jauh dari landasan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam kehidupan bernegara.

Ini waktu yang paling sesuai untuk kita kembali kepada Sistem Raja Berperlembagaan yang sebenar.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

20 Julai 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts