KUNJUNGAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE VIETNAM, PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

67
SHARES
216
VIEWS

YAB Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi ke Vietnam dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat Perdana Menteri Vietnam TYT Pham Minh Chinh, semalam. Usai sambutan rasmi oleh Kerajaan Vietnam, delegasi kerajaan meneruskan mesyuarat dua hala bagi menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

Banyak perkara positif yang terpancar menerusi pertemuan ini dan YAB Perdana Menteri turut menegaskan keseriusan kepada Perdana Menteri Chinh untuk mengukuhkan kerjasama Malaysia dan Vietnam terutamanya dalam bidang pelaburan dan perdagangan, pertanian, pertahanan dan keselamatan serta industri halal.

Selain itu, beliau dan Perdana Menteri Chinh turut menyentuh isu-isu serantau dan ASEAN yang menjadi kepentingan bersama. Kedua-dua Ketua Negara itu kemudiannya menyaksikan pengesahan minit hasil Mesyuarat Ketujuh Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia dan Vietnam.

JCM ini merupakan antara mekanisma dua hala yang utama, bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkepentingan bersama di peringkat Menteri Luar Negeri. Suruhanjaya ini telah diwujudkan pada tahun 1992, susulan pemeteraian Perjanjian Ekonomi, Saintifik dan Teknikal antara Malaysia dan Vietnam.

YAB Perdana Menteri dan Perdana Menteri Chinh turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama di antara National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) dan Vietnam Chamber of Commerce and Industry (VCCI).

Memorandum Persefahaman dan Kerjasama ini dijangka akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memberi faedah kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara yang menguntungkan rakyat, Insya-Allah.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts