DI SEBALIK PENARIKAN DIRI TOMMY THOMAS
Oleh Mohd Puad Zarkashi
1 September 2018
Tommy Thomas pernah menimbulkan kontroversi kerana melantik Cik Sitpa Nevaratnam sebagai peguam yang mewakili 1MDB dalam kes kapal Equanimity. Ia dikaitkan dengan amalan kronisme kerana Sitpa pernah bekerja di firma guaman milik Tommy.
Semalam sekali lagi persoalan timbul bila Tommy Thomas melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan untuk kes 1MDB.
Tindakan itu mendapat kritikan beberapa Peguam. Gopal daripada awal lagi sudah ada pendirian mengenai 1MDB. Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Gopal antara individu yang dipanggil oleh Tun untuk membincangkan isu 1MDB.
Dia membuat kenyataan terbuka mempertahankan perlantikan Richard Malanjun sebagai Ketua Hakim Negara. Bahkan dia juga membuat kritikan terbuka terhadap Hakim Mahkamah Tinggi kerana menolak saman RM2.6 bilion oleh Tun Mahathir atas isu “Najib bukan Penjawat Awam”.
Maka apakah ketelusan dan keadilan akan berlaku kalau dia terlibat sebagai Pendakwa? Terdapat Peguam yang bimbang pendakwaan dendam akan berlaku dan proses keadilan tidak berjalan.
Sebelum ini Tommy juga dikritik hebat kerana berlaku pesta menggugurkan kes terhadap beberapa individu pro Pakatan Harapan.
Contohnya penarikan balik pertuduhan terhadap Hassan Karim MP Pasir Gudang, Thomas Su Keong Siong MP Kampar, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa , bekas Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran, Ratu Naga dan pelukis kartun Zunar.
Keputusan Pejabat AG untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap skandal tanah Ijok juga memeranjatkan. Perkembangan ini membimbangkan.
Masalahnya, kenapa Majlis Peguam membisu?