1. Nama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan terus dikenang sebagai tokoh yang menjuarai isu kos sara hidup rakyat. Jenama ‘Rahmah’ yang ditinggalkannya terus disebut-sebut, terutama golongan B40 yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
2. Inisiatif Payung Rahmah yang bermula dengan Kafe dan Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Barangan Rahmah dan Jualan Murah Rahmah, mendapat sambutan hangat dan diperluas untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai rakyat seperti Bazar Ramadan Rahmah, Pakej Rahmah Insurans dan Takaful, serta Pakej Rahmah Cermin Mata.
3. Yang paling diperkatakan, tentulah Inisiatif Menu Rahmah dengan tawaran sajian serendah RM5. Ia tidak mengambil masa lama untuk meraih sambutan luar biasa bukan sahaja oleh rakyat, bahkan juga oleh peniaga yang menyokong usaha berkenaan.
4. Bahkan, ia dibincangkan dengan kencang di media sosial, dengan ramai di kalangan warganet memuji usaha murni berkenaan.
5. Pemergian Salahuddin mengejutkan negara. Namun, mengenai Allahyarham, hanya kata-kata yang baik dapat kita dengar dari kawan mahupun lawan. Kehilangannya dirasai, dan jasa-jasanya disebut di hujung perjalanan hidupnya.
6. Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
7. Selamat berehat pemimpin Rahmah kami, jariah anda kekal selamanya, Insya-Allah.
Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana MenteriĀ