YAB PERDANA MENTERI SARAN HASiL ELAK BEBANKAN RAKYAT, CUKAI HANYA YANG PERLU

69
SHARES
224
VIEWS

Semasa ucapan di perasmian Persidangan Percukaian 2023 semalam, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menyentuh mengenai kepentingan hasil cukai dalam penstrukturan semula ekonomi negara dan pengagihan kepada lapisan masyarakat yang perlu bantuan.

Namun, beliau bertegas, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan ahli-ahli percukaian perlu telus dan adil apabila mengutip cukai daripada rakyat dan komuniti perniagaan. Hanya cukai apa yang sewajarnya dan elak dari membebankan rakyat.

Walaupun negara perlu meningkatkan kutipan cukai, YAB Perdana Menteri berharap HASiL akan menyahut cabaran peredaran zaman dan tekonologi, seperti teori ‘creative destruction’ Joseph Schumpeter, di mana produktiviti dan pembangunan akan meningkat apabila teknologi dan cara-cara yang lapuk diganti dengan inovasi baru.

Dalam erti kata lain, YAB Perdana Menteri menyarankan HASiL perlu menjadi lebih inovatif untuk merombak semula sistem percukaian supaya menjadi lebih efisien dan berkesan di mengikut peredaran zaman.

Beliau turut menekankan agar semua dapat memperbaiki tata kelola dan menerap sikap amanah dalam pengurusan wang. Menurutnya, tiada guna jika hasil cukai negara meningkat, tetapi masih ada berbilion ringgit wang rakyat ‘disedut’ lesap oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata negara akan kekal kucar-kacir dan rakyat tidak akan terbela sekiranya integriti institusi-institusi masih rapuh.

Ekonomi MADANI yang telah dilancarkan minggu lepas adalah perancangan Kerajaan Perpaduan untuk menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

YAB Perdana Menteri turut menekankan nilai-nilai murni seperti adil, saksama, amanah, dan bertanggungjawab, yang akan merealisasikan kerangka Ekonomi MADANI.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa kerajaan boleh menetapkan objektif-objektif ekonomi yang meninggi langit, namun ia tidak akan tercapai jika semua rakyat Malaysia tidak berganding bahu dan mengamalkan sifat-sifat terpuji.

Kita pernah menjadi juara Asia satu ketika dahulu, namun kerakusan dan ketirisan sesetengah pihak yang menyalah-gunakan kuasa mereka untuk mengayakan diri sendiri dan kroni telah membuat Malaysia menjadi mundur dan hilang arah kompas moralnya.

Oleh itu, YAB Perdana Menteri menyeru agar semua rakyat bersama-sama menggembleng tenaga untuk memperbaiki struktur ekonomi negara tercinta agar ia menjadi sebuah tempat yang lebih baik untuk rakyat seluruhnya.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts