Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menghadiri Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara yang telah dirasmikan Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dekat Dataran Merdeka, petang tadi.
Hadir sama mengiringi YAB Perdana Menteri tadi ialah Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof bersama Menteri Komunikasi dan Digital selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Antara tujuan program bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan adalah untuk mendidik generasi muda menghargai sumbangan tokoh negarawan yang telah banyak menabur bakti ketika memegang jawatan sebagai Timbalan PM pada tahun 1970-an terutamanya dalam usaha menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Dalam majlis tadi, para pengunjung berpeluang menyaksikan pameran mini galeri Tun Dr. Ismail “Wall of Memories” yang mempamerkan gambar, busana serta koleksi peribadi milik negarawan tersebut.
Selain itu, para pengunjung juga disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya program patriotik, program RIUH dan jualan usahawan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Ketua-ketua agensi Kerajaan Persekutuan, Timbalan KSU (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC Hj. Habibi Hj. Majinji serta Ketua Polis Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya.
Sumber: PDRM