Gabungan PH-BN di Terengganu kelihatannya sedang membentuk satu kekuatan politik baru di Terengganu.
Berdasarkan kepada data-data pada PRU-15, gabungan PH-BN sememangnya berpotensi untuk menang di Terengganu pada PRN kali ini. Potensi tersebut semakin hari semakin jelas kelihatan. Dan ini memberikan satu optimisme baru dalam kalangan rakyat Terengganu.
Ada empat kawasan Dewan Undangan Negeri yang menjadi perhatian dan sorotan ramai pada PRN kali ini.
Ini kerana ada dua orang Mantan Menteri Besar, seorang Menteri Besar dan seorang calon popular yang diramal bakal menjadi Menteri Besar Terengganu sekiranya PH-BN menang di Terengganu yang bertanding di empat kawasan tersebut.
Biarpun ada pihak yang meramalkan PH-BN mampu melakukan kejutan di Terengganu namun saya masih berpendapat bahawa peluang tersebut masih lagi 50-50. Saya kira yang bakal menjadi faktor penentu ialah aura dan karisma dari PMX.
Ini akan menguji sejauh mana rakyat Terengganu meyakini kemampuan PMX dan Kerajaan Madani serta kesediaan rakyat Terengganu untuk menerima tawaran PMX melalui manifesto PH-BN.
Selain dari faktor PMX ada satu lagi faktor yang bakal membantu kemenangan PH-BN di Terengganu. Iaitu aura dari mantan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.
Beliau dikatakan lebih disenangi oleh Istana Terengganu dan rakyat di peringkat akar umbi berbanding dengan tokoh-tokoh UMNO yang lain. Banyak pihak melihat beliau sebagai tokoh yang mampu membawa harapan baru UMNO dan rakyat Terengganu dalam era Kerajaan Madani.
Atas dasar itu banyak pihak meramalkan sekiranya PH-BN mampu menguasai Terengganu maka sudah pasti Datuk Seri Jailani Johari yang bakal ditunjuk untuk menjadi Menteri Besar Terengganu.
Kawasan-kawasan yang menjadi perhatian dan sorotan pada PRN kali ini ialah;
1. Kawasan Seberang Takir ditandingi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman dari BN dan Khazan Che Mat dari PAS.
2. Kawasan Ru Redang ditandingi oleh Suhaimi Sulaiman dari PH dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS.
3. Kawasan Ajil ditandingi oleh Datuk Seri Jailani Johari dari BN dan Maliaman Kassim dari PAS.
4. Kawasan Kijal ditandingi oleh Datuk Razali Idris dari PAS dan Datuk Seri Ahmad Said dari BN.
Dari empat calon PH-BN yang bertanding di empat kawasan tersebut, Datuk Seri Jailani Johari dikatakan hampir pasti akan menang di kawasan yang ditandinginya.
Beliau hanya perlu menyantuni para pengundi di tiga kawasan Felda yang mempunyai 3,000 pengundi dan juga para pengundi baru yang berjumlah 4,000 orang untuk menang dengan selesa dan bergaya.
Saya kira tidak ada masalah bagi Datuk Seri Jailani Johari untuk memenangi hati para pengundi di kawasan Felda dan juga para pengundi baru.
Manakala peluang ‘warlord‘ UMNO Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad Said dikatakan dalam kedudukan 50-50 pada waktu ini. Kononnya ada dua isu besar yang sedang berlegar sekiranya tidak ditangani dengan baik akan mengakibatkan kekalahan beliau di kawasan yang ditandinginya.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas