Semasa Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-36 yang dihadiri oleh para pemimpin pemikiran dan cendekiawan, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menjelaskan bahawa ASEAN ini bukanlah ‘bidak’ semata-mata dalam pencaturan geo-politik antara Amerika Syarikat dan China.
Beliau turut menyentuh posisi Malaysia kekal di mana Kerajaan Perpaduan akan melindungi kedaulatan, hak, dan kepentingan Zon Ekonomi Eksklusif negara di Laut China Selatan. Semangat Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam persada antarabangsa tidak pernah luntur, walaupun berdepan dengan pelbagai tentangan.
“Kuasa-kuasa besar, terutama dari Barat, perlu sedar bahawa tatanan dunia barat kini tidak boleh lagi mendominasi suara di persada global, apakala ada lagi negara-negara dan rantau-rantau lain yang mempunyai suara sendiri untuk mengutarakan kepentingan dan hak mereka. Nilai-nilai toleransi, faham-memahami, dan kerjasama adalah penting untuk membina tatanan dunia yang majmuk,” tegas YAB Perdana Menteri.
Tambahnya, beliau akur bahawa ASEAN, di mana Malaysia adalah salah satu ahli dalam kelompok kesatuan geografi dan ekonomi, masih ada banyak lagi ruang untuk berkembang, nescaya mampu untuk bersaing di pentas ekonomi global, Insya-Allah.