Akupun pelik kenapa orang-orang Kelantan masih mempertahankan PAS. Akupun orang Kelantan dan orang Islam. Aku undi UMNO, walaupun pernah undi PAS di 3 PRU. Aku undi UMNO, aku tetap Kelantan dan Islam.
Kenapa anda masih undi PAS?
Mahu dikatakan pemimpin-pemimpin PAS itu lebih Islamik, aku fikir mereka lebih kurang sama dengan pemimpin-pemimpin parti lain. Sama sahaja dari segi perwatakan sebagai ahli politik, mencari keburukan lawan, mengaibkan lawan dan terjebak dengan fitnah-memfitnah.
Pemimpin-pemimpin PAS juga makin kaya-raya selepas mendapat jawatan.
Pemimpin-pemimpin PAS, seperti pemimpin parti lain, juga mencari kemenangan, sehingga bertukar-tukar prinsip. Bersama DAP, Anwar, kemudian bersama UMNO, kemudian lagi bersama Mahathir.
Jadi, apa istimewanya PAS ini? Tiada apa. Hanya sebuah parti politik. Bezanya mereka memainkan slogan dan retorik agama. Mereka mendakwa mereka memperjuangkan agama.
Takkanlah kerana dakwaan itu mereka mesti diberikan kemenangan?
Malangnya, ramai yang terpedaya dengan dakwaan PAS ini sehingga mereka mampu bertahan 33 tahun di Kelantan.
Cubalah lihat tindak-tanduk PAS dalam dunia realiti. Apakah yang telah mereka lakukan di Kelantan selama 33 tahun itu?
Hanya menjual slogan-slogan agama, menunggang agama. Apa yang berubah? Rakyat tetap sama. Yang berubah, pemimpin-pemimpin mereka sahaja yang bertambah kaya dan hidup senang-lenang. Itu sahaja.
Apa yang aku hendak sampaikan di sini ialah, cubalah sekali beri peluang kepada parti selain PAS. Ini bukan soal UMNO atau PAS, tetapi soal rakyat dan negeri kelantan yang terus mundur dan ketinggalan.
Cubalah berubah.
Jusoh Gobek