Agak mengejutkan apabila Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Seri Johari Abdul telah membenarkan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dari Pakatan Harapan atau PH mengangkat sumpah tanpa menggunakan lafaz Allah.
Alasan yang beliau berikan adalah kerana perkara itu tidak ada dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat setelah perkara itu dibangkitkan oleh Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Persoalannya, kenapa perkara tersebut dibenarkan? Bukankah ia sudah menjadi amalan Ahli-ahli Parlimen Malaysia?
Kalau Yang DiPertuan Agongpun mengangkat sumpah jawatan dengan menyebut kalimah Allah, mengapa tidak Ahli-ahli Parlimen?
Ini masalahnya apabila orang yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat tidak faham dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak faham dengan struktur kenegaraan.
Kenapa kalimah Allah itu wajib disebut apabila melafazkan angkat sumpah jawatan? Ini kerana sumpah jawatan YDP Agong yang termaktub pada Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan intinya adalah untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.
Itulah tugas hakiki YDP Agong Malaysia. Atas sifat tugas hakiki tersebut maka sumber kuasa baginda adalah dari Al-Quran, sunnah, qiyas dan ijmak para ulama.
Kuasa ini yang kemudiannya diturunkan dan diagihkan kepada 3 institusi utama iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Sekiranya Perkara 37 itu dibaca dengan Perkara 3 (1) maka YDP Agong Malaysia adalah Ketua Negara dan Ketua Agama atau Ulil Amri bagi negara ini.
Perkara 37 itu membuktikan bahawa sumber kedaulatan dan sumber kuasa YDP Agong Malaysia adalah dari Allah SWT. Ini membuktikan bahawa baginda adalah pemegang amanah Allah SWT di negara ini.
Atas dasar itu maka wajib bagi 3 institusi utama negara untuk melaksanakan tuntutan dan perintah dari sumpah negara itu.
Perkara 37 itu juga membuktikan bahawa Sumpah Jawatan YDP Agong adalah sumpah negara kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sumpah ini telah mengikat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.
Maka sebagai rakyat Malaysia, kewajipan untuk mempertahankan Islam pada setiap masa adalah merupakan kewajipan bernegara yang paling utama.
Apa yang menjadi masalah kita pada hari adalah ini kerana perkara seperti ini masih gagal difahami oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya para elit politik. Itu yang menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan selama ini di kalangan rakyat Malaysia.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam. Ini kerana ia melibatkan soal akidah, syarak dan akhlak dalam Islam.
Jadi berhati-hatilah dalam setiap persoalan yang melibatkan urusan kenegaraan di negara ini. Ini kerana Malaysia bukan sebuah negara republik sekular atau liberal. Malaysia adalah sebuah negara Islam beRaja. Itu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anda boleh berbeza pendapat dengan saya dalam perkara ini. Sila batalkan pandangan dan kefahaman saya dengan hujah-hujah yang lebih bernas dan dengan dalil yang mutlak.
Dato’ Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik & ekonomi bebas