Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pesawat khas membawa baginda dijangka berangkat pada jam 9 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai dijadualkan mendarat di Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang, sebelum menuju ke Istana Negara.
Pemasyhuran Sultan Ibrahim, 66, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 ialah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 semalam.
Baginda diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.