DUA PERKARA PELIK PEMBEBASAN LIM GUAN ENG DARIPADA KES RASUAH
Oleh Isham Jalil
3 September 2018
1. Saya telah mendapat maklum bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Ariff Hadhariah Syed Ismail telah membuat keputusan untuk melepaskan YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah yang melibatkan pembelian banglonya.
2. Menurut hakim, pelepasan ini adalah “discharge amounting to acquittal” iaitu pelepasan yang juga merupakan pembebasan. Ini bermaksud tertuduh iaitu YB Lim Guan Eng seolah-olah tidak bersalah ke atas tuduhan rasuah ini lantas dibebaskan. Ini juga bermakna YB Lim Guan Eng dibebaskan secara mutlak daripada pertuduhan rasuah ini dan kes ini tidak boleh dibuka semula dan dibawa ke mahkamah lagi pada masa akan datang.
3. Terdapat sekurang-kurangnya dua perkara yang pelik di sini: Perkara pertama, pihak pendakwaraya hanya memohon “discharge not amounting to acquittal” atau “pelepasan yang tidak bermaksud tertuduh dibebaskan” iaitu permohonan supaya YB Lim Guan Eng dilepaskan namun bukan dibebaskan.
Jika ini berlaku kes ini boleh dibuka semula dan dibawa ke mahkamah pada masa akan datang. Walaupun demikian, pihak pendakwaraya daripada Pejabat Peguam Negara juga telah menyarankan untuk pertuduhan digugurkan terus, dan berdasarkan saranan pendakwaraya ini hakim mahkamah telah membuat keputusan untuk membebaskan Lim Guan Eng dan kes ini ditutup justeru tidak akan dibawa ke mahkamah semula.
4. Perkara kedua, penghakiman hakim dan saranan Pejabat Peguam Negara dan pembebaskan Lim Guan Eng seperti di atas berlaku pada peringkat proses perbicaraan yang terlalu awal di mahkamah. Ini seolah-olah saranan pendakwaraya di atas dan keputusan mahkamah untuk membebaskan Lim Guan Eng dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa perbicaraan lanjut yang mana sekurang-kurangnya 20 orang saksi lagi belum dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.
Ini berbanding dengan kes 1MDB bekas Perdana Menteri dan kes banglo bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Khir Toyo yang mana proses pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah berlaku dengan panjang lebar.
5. Jika sesiapapun yang bertaraf Menteri melakukan rasuah namun terlepas dan bebas daripada kesalahan tersebut oleh kerana beliau kenal Peguam Negara dan adalah bekas anak guam kepada Peguam Negara dalam kesnya, maka suatu kesongsangan undang-undang telah berlaku.
Ini bukanlah “Rule of Law” namun adalah suatu ketidakadilan dan masalah etika dan moral yang amat membimbangkan. Ia juga akan menyebabkan krisis kepercayaan kepada institusi Undang-undang Negara.
6. Dan lebih buruk lagi ia akan menggalakkan lebih ramai lagi perasuah dan ahli politik berjawatan tinggi dalam Kerajaan untuk terus mengamalkan rasuah kerana mereka tahu mereka boleh terlepas dengan mudah.
Isham Jalil
Presiden Pertubuhan Jalinan SUKARELAWAN MALAYSIA
3 September 2018
(Dipetik daripada laman Facebook beliau)