PERTEMBUNGAN MAHATHIR, ANWAR TIDAK AKAN BERULANG

344
SHARES
2k
VIEWS

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri atas pertuduhan liwat yang menggemparkan negara pada tahun 1998.

Insiden pemecatan tersebut mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat yang turun di jalanan untuk berdemonstrasi yang dikenali sebagai ‘reformasi’ bagi membantah pemecatan tersebut.

Umum ketika itu melihat Anwar sebagai watak yang dianiaya oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Anwar menampilkan imej yang baik dan Islamik. Ironinya, selepas 20 tahun, Anwar dan Tun Mahathir kini berganding bahu menjatuhkan Perdana Menteri keenam iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil-alih kerajaan pada PRU-14 lepas.

Tun Mahathir kemudiannya memaklumkan Anwar merupakan penggantinya dalam tempoh dua tahun susulan ketetapan yang dibuat sebelum PRU14.

Di sebalik kritikan dan sindiran rakyat yang masih skeptikal akan tindakan selanjutnya oleh Tun Mahathir yang dilihat berdolak-dalik, Pemuda Harapan yakin sejarah hitam antara Tun Mahathir dan Anwar yang juga Presiden PKR, tidak akan berulang.

Menurut ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan telah disepakati oleh semua pihak dalam Pakatan Harapan.

“Saya yakin ia tidak akan berulang kerana kita lihat dalam keadaan hari ini sudah ada persefahaman, perjanjian antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar kita telah sepakati.”

“Persefahaman yang baharu ini ia berbeza situasinya dengan yang dulu, Tokoh-tokoh seperti Anwar dan Tun Mahathir juga lebih matang. Saya lihat ia tidak akan berulang.”

“Memang ada isu sana sini yang kecil tapi secara umumnya saya lihat perjalanannya itu menuju sebagaimana yang kita rancang.”

Sehingga kini rakyat masih menunggu untuk melihat sama ada Anwar berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Tun Mahathir ataupun beliau akan kecewa lagi selepas 20 tahun menunggu.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts