NIK ABDUH: JANJI REFORMASI INSTITUSI UTAMA NEGARA HANYA TINGGAL HARAPAN

357
SHARES
2.1k
VIEWS

Kenyataan Media
4 September 2018 | 23 Zulhijjah 1439H

JANJI REFORMASI INSTITUSI UTAMA NEGARA HANYA TINGGAL HARAPAN

Oleh Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz

1. Kepercayaan terhadap ketelusan Kerajaan mengangkat nilai kedaulatan undang-undang semakin terhakis dengan penarikan semula dua kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon. Ia menimbulkan persoalan ramai terhadap sejauhmana institusi teras dalam negara ini benar-benar bersih daripada pengaruh pihak luar dalam menentukan tindakannya.

2. Kerajaan sering melaung-laungkan slogan kedaulatan undang-undang dengan gagasan mereformasi institusi perundangan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun, apakah sebuah kedaulatan undang-undang itu terpakai hanya untuk melindungi mereka yang berkuasa, sedangkan perbicaraan kes rasuah Menteri Kewangan tersebut baru pada fasa awal setelah melalui penyiasatan sejak 2016?

3. Jika pihak tertuduh yakin berada pada pihak yang benar, sewajarnya kes yang berprofil tinggi ini dibicarakan sehingga diputuskan oleh sebuah Mahkamah yang bebas, bukannya ditarik balik oleh Peguam Negara. Itu makna sebenar di sebalik hasrat Kerajaan mengangkat slogan kedaulatan undang-undang. Malah, selain dilihat wujudnya campur tangan, pengguguran kes ini menimbulkan persepsi bahawa pihak tertuduh tidak berani berhadapan dengan perbicaraan.

4. Selain kekaburan terhadap janji reformasi tersebut, saya juga berpandangan pengguguran kes ini akan berkait dengan kredibiliti penyiasatan SPRM. Kenyataan pihak SPRM yang terkejut dengan keputusan pengguguran kes ini menggambarkan bahawa mereka tidak dirujuk oleh Pejabat Peguam Negara sebelum mengemukakan representasi ini ke Mahkamah. Apakah penyiasatan pihak SPRM selama ini sudah tiada kredibiliti lagi?

5. Tuntasnya, pengguguran kes Lim Guan Eng menjelaskan pencanggahan kepentingan yang berlaku. Bagaimana mungkin Peguam Negara boleh dilihat bebas, tidak berat sebelah, mempunyai kepentingan awam dan tanpa dipengaruhi oleh politik dengan pendirian pengguguran kes ini? Persoalan ini semua masih menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.

6. Semua perkara ini jelas memberi gambaran implikasi terhadap pengguguran kes berprofil tinggi dalam negara kita. Lebih malang lagi, ia bukan sahaja membelakangi janji reformasi pihak Kerajaan terhadap rakyat, bahkan telah menyebabkan institusi-institusi tersebut mengalami defisit keyakinan oleh rakyat hari ini.

“Sejahtera Bersama Islam”

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
AHLI PARLIMEN BACHOK

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts